Sukar terima kenyataan hilang dua anak sekelip mata

Sukar terima kenyataan hilang dua anak sekelip mata

MOHD. Hamdan Jemaei dan Norfaziah Sahat menunjukkan gambar anak mereka yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Teluk Intan-Sitiawan pada Khamis lalu. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sepasang suami isteri di Jalan Maharajalela di sini belum dapat menerima kenyataan apabila kehilangan dua anak perempuan sekali gus yang maut dalam kemalangan jalan raya pada malam Khamis lalu.

Mohd. Hamdan Jemaei, 48, dan isteri, Norfaziah Sahat, 43, kehilangan dua anak mereka, Nor Wafa Amira Mohd. Hamdan, 20, Nor Wafa Shirah, 17, yang maut dalam kemalangan selepas Plaza Tol Teluk Intan menghala ke Sitiawan berhampiran Teluk Intan Golf & Country Club di sini.

Pasangan suami isteri itu menyatakan rasa kesal kerana anak mereka maut selepas motosikal ditunggang Nor Wafa Amira dan dibonceng Nor Wafa Shirah dikatakan melanggar sebuah kereta yang sudah terbakar di tepi jalan di laluan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut pasangan itu, mereka hanya mempunyai dua anak, namun kini hilang sekelip mata.

“Sukar untuk kami terima apa yang berlaku, hilang dua anak sekali gus, macam mana kami nak menghadapinya.

“Kini kami kehilangan kedua-dua anak yang kami ada. Tiada lagi kemeriahan. Mereka tinggal dengan kami.

“Memang mereka ada tunjuk kelainan terutama kakak, dua tiga hari sebelum kejadian dia ada ucap selamat tinggal kepada saya, dia kata ‘selamat tinggal ibu’.

“Saya sangka dia cakap begitu sebab dia bakal berkahwin bulan ini, malah sudah beli cincin dan tempah baju untuk perkahwinan. Dia juga sudah menjalani kursus perkahwinan.

“Namun kami tak sangka hasratnya untuk berkahwin tidak kesampaian apabila dia dan adiknya pergi meninggalkan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, kemalangan yang menimpa anak mereka berlaku pada kira-kira pukul 9 malam, mungkin disebabkan tidak perasan kereta yang terbakar di tepi jalan kerana kejadian berlaku pada waktu malam.

“Adik meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kakak meninggal pada kira-kira pukul 5 pagi semasa dirawat di Hospital Teluk Intan.

“Pada mulanya, adiknya tak mahu ikut namun kakaknya minta temankan. Kami tak sangka mereka pergi dalam keadaan begini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini