PETALING JAYA: Perniagaan kecil berisiko tercicir sekiranya gagal melaksanakan pendigitalan, mempelbagaikan pasaran atau membina kerjasama serantau yang kukuh, kata ARCB Asia, kumpulan pelaburan modal teroka dan pembangunan perniagaan berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketua Pegawai Eksekutif ARCB Group, Dr. Udesh Chaskar berkata, landskap global yang berkembang pantas kini menyaksikan perubahan rantaian bekalan, aliran modal yang semakin selektif, tekanan pematuhan peraturan yang meningkat serta kemajuan teknologi yang bergerak lebih pantas daripada kemampuan kebanyakan syarikat untuk menyesuaikan diri.
Katanya, situasi tersebut mewujudkan dua realiti kepada usahawan iaitu risiko dan peluang.
“Asia semakin menjadi rantau penting apabila syarikat global mencari pasaran alternatif, laluan rantaian bekalan baharu dan hab pertumbuhan.
“ARCB melihat Malaysia dan rantau ASEAN berada pada kedudukan strategik dalam fasa peralihan ekonomi global ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, usahawan yang mampu mengintegrasikan keupayaan digital, kesiapsiagaan pematuhan, kerjasama serantau dan model perniagaan berskala besar berpotensi meraih manfaat besar daripada perubahan global tersebut.
“Usahawan tidak lagi boleh berfikir secara lokal semata-mata. Pendekatan serantau, digital dan strategik kini menjadi satu keperluan,” katanya.
Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, ARCB turut menekankan pendekatan berasaskan daya tahan bagi membantu syarikat kekal kompetitif.
“Antara strategi utama yang diketengahkan termasuk memperkukuh keupayaan digital melalui penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing.
“Selain itu, syarikat digalakkan mempelbagaikan pasaran dan tidak terlalu bergantung kepada satu rantaian bekalan atau pasaran tunggal, dengan ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dikenal pasti sebagai peluang pertumbuhan utama,” katanya.
Selain itu, ARCB juga membantu usahawan meningkatkan kesiapsiagaan pelaburan melalui pengukuhan tadbir urus, penambahbaikan model kewangan, pembinaan naratif perniagaan yang lebih kukuh serta pelan pertumbuhan yang lebih meyakinkan kepada pelabur.
Dalam masa sama, syarikat itu menekankan kepentingan kerjasama strategik dalam ekosistem perniagaan termasuk akses kepada rangkaian dan sokongan pasaran bagi mempercepat pertumbuhan syarikat.
Udesh berkata, pendekatan ARCB memberi fokus kepada usaha membantu syarikat menjadi lebih tersusun, lebih digital, lebih mudah mendapat pembiayaan dan lebih berhubung di peringkat serantau.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan pantas dan membina daya tahan bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan,” katanya.
Sementara itu, Ketua ARCB Venture Labs, Nour Thabet berkata, ARCB Asia sedang memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia melalui sokongan menyeluruh bagi membantu perniagaan tempatan berkembang dalam ekonomi digital serta menembusi pasaran serantau.
Beliau berkata, ramai PKS di Malaysia memiliki produk yang baik namun masih berdepan kekangan seperti akses modal yang terhad, tahap pendigitalan rendah, kelemahan dalam pembentangan kepada pelabur serta rangkaian serantau yang terbatas.
“Melalui platform ARCB Venture Labs, syarikat membantu usahawan menilai kedudukan semasa perniagaan dan mengenal pasti penambahbaikan yang diperlukan untuk berkembang.
“Sokongan yang diberikan merangkumi transformasi digital, penggunaan AI, pengukuhan model perniagaan, akses kepada rakan strategik dan hubungan dengan pelabur,” katanya. – UTUSAN










