PETALING JAYA: Perbankan tempatan dijangka mencapai prestasi yang kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, memandangkan kesan perang terhadap kualiti aset dan pertumbuhan adalah agak minimum sepanjang tempoh tersebut.
MBSB investment Bank Berhad berkata, prestasi ini dipacu oleh prospek ekonomi yang kukuh, kadar dividen yang tinggi dengan potensi kenaikan, kualiti aset yang cemerlang serta kestabilan geopolitik yang lebih baik berbanding negara jiran.
“Kami menjangkakan pemulihan daripada persaingan deposit, selain momentum berterusan dalam pendapatan, hasil utama dan pertumbuhan pinjaman,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank pelaburan berkata, merujuk kepada statistik perbankan Bank Negara Malaysia (BNM), peningkatan pinjaman perniagaan akan menyokong pertumbuhan keseluruhan pinjaman.
“Namun, momentum tersebut dijangka tidak akan berterusan pada suku-suku berikutnya kerana tekanan kos dijangka semakin meningkat.
“Dengan mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perbankan, kemungkinan pembayaran dividen khas dan bentuk pelepasan modal lain masih tinggi, walaupun pengumuman mungkin ditangguhkan,” katanya.
MBSB berkata, kebanyakan bank kekal positif terhadap margin faedah bersih (NIM), dengan jangkaan pengembangan hasil daripada penetapan semula kadar deposit tetap dan kestabilan kadar faedah.
Dari sudut aset, bank pelaburan menjangkakan penstrukturan semula pinjaman yang lebih agresif ke arah pinjaman perniagaan yang menawarkan pulangan lebih tinggi.
“Pengurusan kekayaan, bancassurance dan pasaran modal hutang merupakan pemacu utama pendapatan berasaskan fi, khususnya apabila prestasi pasaran, pertumbuhan pinjaman dan sentimen ekonomi bertambah baik.
“Selain ketidaktentuan pertukaran asing, penstabilan kadar faedah dijangka menyebabkan sedikit penyederhanaan dalam pendapatan pelaburan,” tambahnya.
Menurutnya lagi, walaupun lebih banyak kecekapan teknologi dijangka mula memberi hasil, perbelanjaan teknologi masih menjadi faktor utama yang menekan kebanyakan bank.
MBSB Research juga menjangkakan pertumbuhan pesat perbelanjaan operasi dalam kalangan bank kecil yang berkembang pantas.
Pada masa sama, MBSB mengekalkan pandangan neutral terhadap pertumbuhan pinjaman.
“Pinjaman perniagaan semakin berkurangan kebelakangan ini apabila modal kerja terus lemah, khususnya dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala pertumbuhan pinjaman runcit pula telah menunjukkan trend menurun sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
“Secara keseluruhan, bank-bank juga tidak memberikan unjuran pertumbuhan tempatan yang begitu kukuh, terutama bank-bank besar,” katanya.
MBSB berkata, dalam taklimat akan datang oleh pihak bank, ia akan memberi tumpuan kepada penjelasan berkaitan kualiti aset dan impak peruntukan, selain strategi baharu untuk merangsang pertumbuhan pinjaman dan pengurangan kos.
Tambahnya, bagi mengurangkan kesan kepada rakyat, tekanan inflasi dan kos sara hidup perlu dikawal.
“Bersama subsidi bahan api, kami melihat kemungkinan pakej bantuan ekonomi tambahan serta potensi pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mengurus tekanan kos dan merangsang pertumbuhan.
“Pada masa sama, inisiatif ini perlu dibiayai daripada sumber lain, kita sudah melihat pengurangan bajet dan terdapat sedikit kemungkinan pelaksanaan cukai kemakmuran, walaupun ia lebih berkemungkinan menyasarkan sektor bukan perbankan.
“Walaupun terdapat cabaran, sektor perbankan kekal sebagai pilihan defensif yang kukuh,” tambahnya. – UTUSAN









