Parti anti-Islam menang di Australia - Utusan Malaysia

Parti anti-Islam menang di Australia

HANSON (depan) mengetuai Parti One Nation. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Parti Liberal, mungkin terpaksa bekerjasama dengan parti haluan kanan anti-Islam selepas tewas teruk dalam satu pilihan raya kecil yang disifatkan sebagai tamparan politik terburuk, kata menteri kanan kerajaan pada Ahad.

Parti One Nation pimpinan Pauline Hanson yang mahu mengurangkan pendatang asing dan sering mengeluarkan kenyataan anti-Islam, mencatat kemenangan pertama dalam pilihan raya persekutuan bagi kerusi Dewan Rakyat pada Sabtu.

“Kami akan memburu kerusi-kerusi lain selepas ini. Anda tidak lagi akan menjadi rakyat yang dilupakan,” kata Hanson selepas kemenangan tersebut. 

Calon One Nation, David Farley memperoleh 39 peratus undi di kerusi luar bandar Farrer di negeri New South Wales ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup, harga rumah yang tidak mampu dimiliki dan kebimbangan terhadap isu seperti imigresen.

Pesaing terdekatnya, seorang calon bebas, meraih 28 peratus undi manakala calon Parti Liberal hanya memperoleh 12 peratus dan Parti Nasional 10 peratus, menurut keputusan rasmi.

“Ini bukan sekadar pilihan raya kecil. Ia satu tamparan besar untuk gabungan ini. Apa yang ditunjukkan ialah gabungan itu tidak mampu menewaskan One Nation. 

“Mereka mungkin perlu bekerjasama dengannya. Saya fikir tiada masa depan kerajaan gabungan tanpa One Nation,” kata Menteri Perbendaharaan, Jim Chalmers kepada Sky News Australia.

Pakatan Parti Liberal dan Parti Nasional memerintah Australia untuk sebahagian besar tempoh selepas perang. Sebelum hujung minggu ini, kerusi Parlimen Farrer dipegang oleh parti konservatif tradisional Liberal dan Nasional sejak 1949. 

Ahli Parlimen kanan Parti Liberal, Tim Wilson enggan menolak kemungkinan membentuk kerajaan minoriti dengan sokongan One Nation pada masa depan.

“Matlamat saya ialah memastikan Parti Liberal berada dalam kedudukan terbaik untuk mentadbir dengan kukuh. 

“Sudah tentu kami secara tradisi membentuk gabungan dengan Parti Nasional. Tetapi terpulang kepada rakyat Australia untuk menentukan siapa yang mereka mahu undi,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan itu dalam wawancara bersama penyiar nasional ABC.

Bagaimanapun, beliau mahu partinya menewaskan calon One Nation dalam mana-mana pilihan raya.

Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Anthony Albanese tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu kerana menganggap kerusi berkenaan sukar dimenangi.

Pilihan raya umum Australia seterusnya dijangka diadakan selewat-lewatnya Mei 2028 dan Parti Buruh kini mendahului dengan selesa dalam tinjauan pendapat.

Pilihan raya kecil Farrer diadakan selepas bekas ketua Parti Liberal, Sussan Ley yang memegang kerusi itu selama 25 tahun meletak jawatan pada Februari selepas disingkirkan ketika kedudukan partinya merosot dalam tinjauan pendapat di belakang One Nation. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN