Trump tolak syarat Iran untuk tamat perang - Utusan Malaysia

Trump tolak syarat Iran untuk tamat perang

TRUMP menolak syarat yang dikemukakan Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad menyifatkan syarat Iran untuk menamatkan perang Asia Barat yang bermula pada 28 Februari lalu sebagai langsung tidak boleh diterima.

Kenyataan itu meningkatkan kemungkinan konflik kembali tercetus selepas beberapa minggu rundingan diadakan.

Iran sebelum itu membalas cadangan damai terbaru Washington pada hari sama dan memberi amaran bahawa ia tidak akan berdiam diri daripada bertindak balas terhadap sebarang serangan baharu AS atau membenarkan lebih banyak kapal perang asing berada di Selat Hormuz.

Trump bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai cadangan balas Teheran tetapi  menjelaskan dalam media sosial miliknya, Truth Social bahawa beliau menolaknya.

“Saya baru sahaja membaca respons daripada apa yang dipanggil ‘wakil’ Iran. Saya tidak menyukainya, langsung tidak boleh diterima,” tulisnya.

Teheran secara terbuka terus mempertahankan pendirian tegasnya walaupun diplomasi sedang berlangsung di sebalik tabir.

“Kami tidak akan sekali-kali tunduk kepada musuh dan jika ada perbincangan mengenai dialog atau rundingan, itu tidak bermakna menyerah kalah atau berundur,” kata Presiden Iran, Masoud Pezeshkian di X pada Ahad.

Menurut penyiar Iran,  IRIB, respons Teheran terhadap pelan AS yang disampaikan kepada pengantara Pakistan memberi tumpuan kepada penamatan perang di semua medan, khususnya Lubnan,  di mana Israel terus bertempur dengan kumpulan disokong Iran, Hizbollah selain menjamin keselamatan perkapalan.

Ia tidak memberikan banyak perincian, walaupun cadangan AS dilaporkan tertumpu kepada pelanjutan gencatan senjata di Teluk bagi membolehkan rundingan mengenai penyelesaian muktamad konflik dan program nuklear Iran yang dipertikaikan.

Sementara itu, akhbar The Wall Street Journal yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu melaporkan Iran mengemukakan tuntutannya sendiri kepada Washington dan mencadangkan sebahagian uranium diperkaya tingginya dicairkan, manakala selebihnya dipindahkan ke negara ketiga.

Dalam respons yang dihantar melalui pengantara Pakistan, Iran meminta jaminan bahawa uranium yang dipindahkan itu akan dipulangkan sekiranya rundingan gagal atau Washington menarik diri daripada perjanjian itu pada masa depan, menurut sumber kepada akhbar tersebut.

Trump tidak menyebut butiran sedemikian ketika menolak respons Iran.

Iran mengenakan sekatan di Selat Hormuz yang strategik pada awal perang, menyebabkan harga minyak global melonjak dan pasaran kewangan bergolak.

Sejak itu, Teheran mewujudkan mekanisme pembayaran untuk mengenakan tol ke atas kapal yang melalui selat tersebut tetapi pegawai AS menyatakan bahawa adalah tidak boleh diterima bagi Iran mengawal laluan laut antarabangsa dan laluan bagi satu perlima bekalan minyak dunia serta bahan penting lain.

Tentera Laut AS pula menyekat pelabuhan Iran dan ada ketika ia melumpuhkan atau mengalihkan kapal yang menuju ke atau keluar dari pelabuhan tersebut.

Britain dan Perancis mengetuai usaha membentuk gabungan antarabangsa untuk menjamin keselamatan selat itu selepas perjanjian damai dicapai, dengan kedua-dua negara menghantar kapal ke rantau tersebut lebih awal.

Kedua-dua negara pada Selasa akan menganjurkan mesyuarat pelbagai negara melibatkan menteri pertahanan dari lebih 40 negara mengenai pelan ketenteraan untuk memulihkan aliran perdagangan melalui Selat Hormuz, menurut kerajaan Britain.

Namun, Iran memberi amaran pada Ahad bahawa Britain dan Perancis akan menerima tindak balas tegas dan segera sekiranya mereka menghantar kapal ke selat tersebut. – AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×