PETALING JAYA: Kerajaan harus memperincikan peruntukan Perlembagaan sehingga membolehkan Parlimen tidak bersidang lagi sehingga hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian berkata, ini kerana tindakan kerajaan yang ‘bersembunyi’ di sebalik istilah Perlembagaan itu hanya menunjukkan kepada rakyat yang kerajaan takut pada sebarang kemungkinan di dalam Dewan Rakyat.
“Kerajaan ada menyatakan pembukaan Parlimen perlu berasaskan peruntukan Perlembagaan, bermakna peruntukan itu harus diteliti untuk dijelaskan kepada orang ramai, kalau boleh kita memang nak supaya Parlimen boleh bersidang esok. Namun, apakah itu dibenarkan mengikut peraturan?
“Jadi kerajaan perlu tampil memberi perincian supaya pemahaman itu dapat memberi keyakinan kepada orang ramai kerana minimum 33 hari sebelum tarikh sidang perlu diberi notis kepada ahli dewan untuk memulakan persidangan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Katanya, pandangan itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar daripada pelbagai agensi kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Sivamurugan berkata, pihak istana sudah pasti meneliti peruntukan Perlembagaan sehingga mengeluarkan titah supaya Parlimen bersidang dengan segera.
“Apabila titah dikeluarkan sudah pasti Istana Negara merujuk kepada peruntukan Perlembagaan, cuma tidak dinyatakan tarikh dan bila. Namun saya yakin kerajaan juga mempunyai kenapa ia dibawa kepada September.
“Tetapi impaknya, lagi lewat kerajaan memberi penerangan untuk membuka Parlimen, ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada kerajaan, walhal ada alasan lain yang boleh diperincikan,” jelasnya.
Tambah Sivamurugan, pembukaan Parlimen ini terletak kepada Ketua Dewan iaitu Perdana Menteri sendiri, dan pihak pembangkang hanya boleh membuat saranan supaya Parlimen disegerakan untuk bersidang.
“Tetapi Ketua Dewan dan Speaker sudah menyatakan kita mengikut Perlembagaan. Namun dalam apa jua sekalipun, ia harus kembali kepada sejauh mana kerajaan boleh segerakannya daripada tunggu sehingga September bagi membentuk kewibawaan dan keyakinan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










