MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin memberi isyarat perangnya dengan Ukraine hampir tamat sambil menyatakan kesediaan untuk bertemu rakan sejawatannya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky di negara ketiga jika satu perjanjian damai dimuktamadkan.
Putin membuat kenyataan itu kepada wartawan beberapa jam selepas berjanji Russia akan mencapai kemenangan dalam perang Ukraine ketika perarakan Hari Kemenangan yang lebih sederhana berbanding tahun-tahun sebelumnya di Moscow.
Kenyataan tersebut dibuat ketika Russia dan Ukraine memulakan gencatan senjata selama tiga hari serta bersetuju untuk pertukaran 1,000 tahanan perang. Ia mencetuskan harapan berhati-hati terhadap kemajuan diplomatik baharu.
Dalam perarakan tersebut, Putin memuji tentera Russia yang berperang di Ukraine, menyifatkan misi mereka sebagai ‘perjuangan adil menentang kuasa agresif yang disokong blok Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Kemenangan akan menjadi milik kita. Saya fikir perkara ini sedang menghampiri pengakhiran,” katanya ketika pasukan perbarisan tentera di Dataran Merah Moscow.
Putin berkata, beliau turut terbuka untuk bertemu di negara ketiga, tetapi hanya selepas satu perjanjian damai menyeluruh dicapai.
“Pertemuan di negara ketiga juga mungkin, tetapi hanya selepas perjanjian damai jangka panjang dimuktamadkan. Ini perlu menjadi perjanjian akhir, bukan sekadar rundingan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan berbincang dengan pihak Eropah, Putin memaklumkan beliau lebih cenderung untuk berbincang bekas Canselor Jerman, Gerhard Schröder.
Selepas acara itu, Putin menyalahkan ‘elit globalis’ Barat sebagai punca perang, mendakwa mereka pernah berjanji NATO tidak akan berkembang ke arah timur selepas kejatuhan Tembok Berlin pada 1989, tetapi kemudian cuba membawa Ukraine ke dalam lingkungan Kesatuan Eropah (EU).
Perarakan tahun ini juga dilihat lebih sederhana, dengan paparan video peralatan ketenteraan dipaparkan di skrin besar berbanding pergerakan kereta kebal dan peluru berpandu seperti biasa di Dataran Merah.
Buat pertama kali, perarakan itu turut menampilkan tentera dari Korea Utara sebagai penghormatan kepada Pyongyang yang menghantar tenteranya untuk membantu Russia dalam konflik di wilayah Kursk.
Sebelum ini, Russia mengisytiharkan gencatan senjata unilateral sempena cuti tersebut, namun Ukraine mendakwa ia tidak berjaya dilaksanakan. – AGENSI










