Nelayan kecil kini usahawan sambal ikan talang masin

Nelayan kecil kini usahawan sambal ikan talang masin

ORYATI Othman menunjukkan produk sambal ikan talang masin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA sebagai nelayan kecil yang menangkap ikan untuk kegunaan sendiri, kini Noryati Othman, 48, berjaya mengembangkan perusahaan sambal dan produk ikan masin sehingga mampu membantu komuniti nelayan setempat menjana pendapatan.

Noryati berkata, titik perubahan perniagaannya bermula apabila menerima bantuan geran bernilai RM50,000 daripada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan pada 2023 bagi menaik taraf operasi pemprosesan makanan laut.

Katanya, bantuan itu digunakan untuk membeli pelbagai peralatan termasuk dua unit peti ais, mesin pembungkusan, kuali besar, mesin pengering dan kemudahan pembungkusan yang lebih moden.

“Dahulu kami hanya buat secara kecil-kecilan dengan komuniti nelayan. Sekarang dengan bantuan peralatan daripada Jabatan Perikanan, proses pengeluaran jadi lebih teratur dan maju,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Noryati turut menerima bantuan tambahan sekitar RM28,000 bagi tujuan pembungkusan produk menggunakan botol yang lebih berkualiti dan sesuai untuk pasaran.

Katanya, antara produk utama yang dihasilkan ialah sambal ikan talang masin, sambal kerisik dan sambal gesek yang dijual pada harga sekitar RM15.90 sebotol.

“Pengeluaran sambal ketika ini mencecah sekitar 450 botol sebulan, terutama apabila menyertai pelbagai program jualan dan ekspo.

“Kalau ikut satu kawah, boleh menghasilkan sekitar 40 hingga 50 botol sambal. Kami pernah juga mencapai jualan 450 botol sebulan apabila banyak menyertai program,” katanya.

Noryati berkata, bahan mentah utama iaitu ikan talang mudah diperoleh di sekitar Port Dickson pada musim tertentu dengan harga sekitar RM5 sekilogram.

“Ikan talang ini bukan ikan komersial yang meluas, jadi bila musim banyak, nelayan akan kongsi dalam komuniti untuk diproses jadi ikan masin dan sambal,” katanya.

Menurut Noryati, perusahaan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya, malah membantu lebih 40 ahli komuniti nelayan di bawah pertubuhan MyKP Bagan Pinang.

Tambahnya, selain perusahaan sambal, kumpulan itu turut mengusahakan restoran ikan bakar dan aktiviti pelancongan kayak memancing (kayak fishing) bagi menambah sumber ekonomi komuniti.

“Kami mahu barang kecil dijadikan besar, apabila komuniti bersatu, hasil nelayan boleh dipelbagaikan dan mendapat pendapatan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pihak Jabatan Perikanan juga banyak membantu dari segi latihan pemasaran digital termasuk penggunaan media sosial, Facebook dan TikTok bagi memperluaskan pasaran produk.

Dalam usaha meningkatkan ketahanan produk, Noryati turut mengikuti kursus teknologi retort yang membolehkan sambal tahan antara enam bulan hingga setahun tanpa penggunaan bahan pengawet berlebihan.

Bagaimanapun, Noryati turut mengakui cabaran utama ketika ini ialah kekurangan lokasi strategik untuk jualan serta usaha menembusi pasaran pasar raya.

“Kita sedang berusaha memohon tapak TOL dan pada masa sama dalam proses mendapatkan pensijilan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta MESTI untuk meluaskan pemasaran,” katanya.

Pada masa depan, Noryati bercadang melaksanakan projek ‘crab bank’ bagi tujuan pembenihan ketam dengan melepaskan semula induk bertelur ke laut sebagai usaha memelihara sumber marin.

Dia turut menasihatkan komuniti nelayan agar tidak malu mengikuti kursus dan latihan percuma yang disediakan Jabatan Perikanan.

“Jangan segan masuk kursus kerana banyak ilmu boleh bantu tingkatkan pendapatan komuniti nelayan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×