PETALING JAYA: Syarikat teknologi kewangan (fintech) global, Airwallex bersedia memperluas pengaruhnya ke pasaran Indonesia dan Vietnam sebagai sebahagian daripada strategi serantau untuk menjadi tulang belakang sistem kewangan di Asia Tenggara.
Rancangan pengembangan ini menyusul selepas kejayaan syarikat melancarkan suite platform kewangan lengkapnya di Malaysia, hasil kelulusan lesen pengeluaran e-wang dan perkhidmatan wang Kelas A daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Perkembangan Asia Tenggara Airwallex, Andrew Chim berkata, langkah menembusi pasaran Indonesia dan Vietnam adalah kritikal memandangkan rantau ini kini menjadi semakin pusat kepada rantaian bekalan dan aktiviti perdagangan global.
“Visi kami adalah untuk membina infrastruktur yang menggabungkan kedalaman kawal selia tempatan dengan platform global.
“Sambil kami memperkukuh kehadiran di Malaysia dan Singapura, tumpuan kami seterusnya adalah Indonesia dan Vietnam bagi membolehkan perniagaan beroperasi merentasi sempadan dengan semudah transaksi domestik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Andrew, pasaran Malaysia memainkan peranan dwi-fungsi iaitu sebagai pasaran tempatan yang pesat berkembang dan juga hab strategik bagi menyokong perniagaan antarabangsa yang berurusan dengan Asia Tenggara.
Di Malaysia, Airwallex menawarkan penyelesaian yang membolehkan syarikat menguruskan akaun pelbagai mata wang, pertukaran asing (FX) dan pembayaran dalam talian di bawah satu platform tunggal bagi mengurangkan kerumitan serta kos operasi.
“Dengan ekonomi digital yang semakin maju dan ketersambungan perdagangan yang kuat antara Malaysia, ASEAN, dan China, kami melihat keperluan yang tinggi untuk infrastruktur kewangan bersepadu yang boleh diskalakan,” katanya.
Sebagai persediaan menyokong pertumbuhan serantau yang agresif ini, Airwallex turut merancang untuk menggandakan bilangan tenaga kerjanya di Malaysia menjelang akhir tahun 2026, termasuk memanfaatkan bakat tempatan yang berkualiti untuk menyokong operasi global.
Andrew berkata, fokus Airwallex dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang adalah untuk memastikan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini mendapat nilai sebenar daripada platform mereka ketika mereka mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa. – UTUSAN











