Kim Swee tunggu undian sebelum buat keputusan

Kim Swee tunggu undian sebelum buat keputusan

Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk menjemput pasukan kebangsaan bawah 16 yang muncul naib juara B-17 Piala ASEAN 2026 bagi menyertai kejohanan Piala Supermokh tahun ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk menjemput pasukan kebangsaan bawah 16 (B-16) bagi menyertai kejohanan Piala Supermokh 2026.

Kim Swee berkata, tumpuan diberikan bagi peringkat B-16 memandangkan skuad negara berjaya melayakkan diri menyertai kelayakan Piala Asia B-17 2027, November ini.

“Apa yang NFDP lakukan sebelum ini dalam kejohanan Supermokh adalah dengan menjemput kelab tetapi saya lebih inginkan di mana kita boleh dapatkan pendedahan kepada pasukan b-16 negara. 

“Jadi, saya cuba untuk memikirkan menjemput pasukan-pasukan kebangsaan B-16 untuk menyertai kejohanan Supermokh di mana daripada situ kita akan dapat pendedahan. 

“Kalau kita menjemput kelab, kita tidak akan mendapat pendedahan antarabangsa meskipun perbelanjaan tetap sama. Bagaimanapun, saya tak pasti sama ada akan berlaku atau pun tidak lebih-lebih lagi kita dimaklumkan untuk berjimat,” katanya.

Ditanya negara mana yang menjadi pilihan bagi menyertai kejohanan Supermokh, Kim Swee berkata, keputusan itu hanya dapat dilakukan selepas undian kumpulan kelayakan Piala Asia B-17 2027 diadakan pada Jun ini.

“Itu terpulang. Tunggu undian. Kalau selepas undian baru saya akan tentukan. Contoh, kalau saya jemput Kyrgyzstan, tiba-tiba kita satu kumpulan dengan mereka. Kita tak akan menjemput negara yang satu kumpulan dengan kita,” katanya.

Kim Swee turut berkata, selain penganjuran kejohanan Supermokh, beliau juga mahu mengadakan beberapa aksi persahabatan membabitkan skuad B-16 negara agar mereka bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kelayakan Piala Asia B-17 2027.

“Kelayakan pada November tapi kita ada ruang lebih kurang lima bulan untuk pasukan dapat didedahkan dalam perlawanan lebih bermutu. Kita sedang menunggu undian kelayakan yang akan diadakan pada bulan hadapan. 

“Selepas kita mengetahui pasukan mana dalam kumpulan kita dari situ kita akan menentukan pasukan mana yang kita ingin bermain dalam perlawanan persahabatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×