Kecederaan Wei Chong ancam misi pertahan gelaran

Kecederaan Wei Chong ancam misi pertahan gelaran

Man Wei Chong akan bergandingan dengan Soh Wooi Yik di Terbuka Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk mempertahankan gelaran Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 semakin goyah apabila Wei Chong tidak pasti dapat menyertai kejohanan bertaraf Super 500 tersebut.

Hal ini kerana, pemain berusia 27 tahun itu masih dalam proses pemulihan kecederaan lutut kanan yang menggugat aksi Piala Thomas di Horsens, Denmark, minggu lalu.

Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky berkata selain Malaysia Masters pada 19 hingga 24 Mei ini, penyertaan Terbuka Singapura pada minggu berikutnya masih belum dapat diputuskan susulan bergantung kepada perkembangan tahap pemulihannya ketika ini.

“Kita mesti lihat perkembangan kecederaan lutut dialaminya itu dalam minggu ini dan minggu depan, sama ada layak untuk bermain di Masters Malaysia atau tidak.

“Terbuka Singapura juga masih dalam persoalan. Kalau di Masters Malaysia dia belum pulih sepenuhnya, mungkin kita tidak akan sertai Terbuka Singapura,” kata Rexy.

Biarpun kecederaan adalah risiko biasa dalam sukan kompetitif namun Rexy percaya pemain memerlukan keyakinan penuh daripada pasukan kejurulatihan serta pegawai perubatan untuk kembali bersaing di tahap terbaik.

Dalam menghadapi tempoh pemulihan, Wei Chong turut menamatkan zaman bujangnya selepas selamat melangsungkan perkahwinan bersama pilihan hati, Ai Ting pada Rabu.

Pasangannya, Kai Wun berkata Wei Chong mempunyai dua tanggungjawab ketika ini untuk menjaga keluarganya serta mewakili negara dan berharap untuk pulih secepat mungkin untuk Kembali di pentas kompetitif.

“Sekarang dia sudah berkahwin, dia kena jaga keluarganya dan satu lagi saya mahu ucap untuk lutut dia cepat sembuh, pulih cepat sikit supaya kita boleh kembali beraksi bersama-sama,” kata Kai Wun.

Untuk rekod, Wei Chong-Kai Wun menewaskan rakan senegara yang juga gandingan No.2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk merangkul gelaran Malaysia Masters pada Mei tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×