MEXICO CITY: Pihak berkuasa Mexico mengumumkan tahun persekolahan akan ditamatkan 40 hari lebih awal ketika negara itu bersiap sedia menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia, sekali gus mencetuskan bantahan meluas.
Menteri Pendidikan, Mario Delgado berkata, keputusan menamatkan sesi persekolahan lebih awal dibuat sebahagiannya berikutan gelombang haba yang melanda beberapa negeri.
“Kami akan menamatkan sesi persekolahan pada 5 Jun kerana banyak negeri kini mengalami suhu tinggi, selain isu berkaitan Piala Dunia,” katanya pada satu acara di negeri Sonora di utara negara itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak berkuasa sedang mempertimbang untuk mempercepatkan permulaan sesi akademik baharu yang ketika ini dijadualkan bermula pada 31 Ogos.
Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada itu akan bermula pada 11 Jun dengan Mexico menentang Afrika Selatan di Mexico City.
Ketika Delgado mula mengumumkan langkah itu pada Khamis, Presiden Claudia Sheinbaum berkata ia sekadar satu ‘cadangan’.
“Belum ada kalendar yang muktamad lagi. Penting untuk memastikan kanak-kanak tidak terlepas sesi pembelajaran,” katanya dalam sidang media harian.
Ibu bapa bagaimanapun terkejut dengan keputusan itu, yang boleh memaksa mereka mencari dan membayar penjagaan anak tambahan selama sebulan pada musim cuti musim panas.
“Pemendekan sesi persekolahan akan menjejaskan lebih 23.4 juta pelajar dengan mengurangkan lagi masa pembelajaran, dalam keadaan pencapaian pendidikan yang sedia rendah dan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar,” amaran badan pemikir dasar awam Mexico Evalua.
Persatuan perniagaan Coparmex menyifatkan keputusan itu sebagai ‘tergesa-gesa’ dan memberi amaran ia akan mengganggu jadual keluarga serta memberi kesan kepada tenaga kerja.
Pegawai di negeri Jalisco di barat Mexico, yang ditadbir pembangkang, berkata mereka tidak akan mematuhi keputusan itu dan akan mengekalkan sekolah dibuka sehingga 30 Jun seperti dijadualkan.
Kelas hanya akan digantung selama empat hari apabila Guadalajara, yang terletak di negeri itu, menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia, bagi menangani ‘keperluan logistik’ yang timbul akibat acara tersebut.- AFP










