Russia-Ukraine setuju gencatan senjata 'diatur' Trump

Russia-Ukraine setuju gencatan senjata ‘diatur’ Trump

ANGGOTA tentera Russia menunggu raptai perarakan sempena Hari Kemenangan, yang diadakan di Dataran Merah, di Moscow kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Russia dan Ukraine mengesahkan bersetuju dengan gencatan senjata selama tiga hari diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang akan berlangsung dari 9 hingga 11 Mei.

Pengumuman Trump di Truth Social turut menyatakan kedua-dua negara yang terperangkap dalam konflik lebih empat tahun itu akan bertukar 1,000 tawanan perang.

Kyiv dan Moscow saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata yang diumumkan secara berasingan minggu ini ketika Russia bersiap sedia mengadakan perarakan Hari Kemenangan pada 9 Mei bagi memperingati kemenangan Soviet ke atas Nazi Jerman pada 1945.

Trump semakin kecewa dengan kegagalan mencapai kemajuan dalam usaha menamatkan perang Rusia-Ukraine, dan penghentian pertempuran itu memberi sedikit berita positif kepada presiden AS berkenaan, yang populariti domestiknya terjejas akibat perang menentang Iran bersama Israel.

Usaha menamatkan perang Iran yang kini memasuki bulan ketiga dilihat semakin buntu susulan ketegangan baharu yang tercetus di Teluk.

Gencatan senjata Russia-Ukraine itu akan merangkumi penggantungan semua ‘aktiviti ketenteraan’ serta pertukaran 1,000 tahanan dari setiap negara, kata Trump.

“Permintaan ini dibuat secara langsung oleh saya, dan saya amat menghargai persetujuan Presiden Vladimir Putin dan Presiden Volodymyr Zelenskyy. Semoga ini menjadi permulaan kepada pengakhiran perang yang sangat panjang, berdarah dan sengit,” tulisnya.

Trump menambah rundingan terus bergerak ke arah penamatan perang itu dan semakin hampir setiap hari.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, dalam hantaran di Telegram, mengesahkan gencatan senjata itu diatur sebagai sebahagian daripada usaha rundingan AS dan isu kemanusiaan kekal menjadi keutamaan.

“Itulah sebabnya hari ini, dalam rangka proses rundingan yang dimediasi pihak Amerika, kami menerima persetujuan Russia untuk melaksanakan pertukaran tawanan perang dalam format 1,000 untuk 1,000,” tulis Zelensky.

Zelenskyy turut mengeluarkan dekri bersifat sinis yang ‘membenarkan’ perarakan tentera Russia pada 9 Mei diteruskan dan menyatakan senjata Ukraine tidak akan menyasarkan Dataran Merah.

Berita pada 8 Mei itu menyusuli apa yang disifatkan Zelensky sebagai rundingan substantif antara pegawai AS dan Ukraine di Miami, dengan wakil khas AS dijadual melawat Kyiv dalam beberapa bulan akan datang.

Pembantu Kremlin, Yuri Ushakov, yang bercakap kepada wartawan bagi pihak Vladimir Putin, berkata Russia turut bersetuju dengan inisiatif Trump itu.

“Persetujuan mengenai perkara ini dicapai semasa perbincangan telefon kami dengan pentadbiran AS,” katanya.

Sebelum ini, Rusia dan Ukraine saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata yang diumumkan secara berasingan oleh kedua-dua pihak.

Kedua-dua pihak masih saling menyerang menggunakan peluru berpandu, dron dan artileri, tanpa sebarang petanda perang itu akan berakhir dalam masa terdekat.

Rundingan damai juga masih buntu, dengan Ukraine menolak tuntutan Putin supaya menyerahkan wilayah yang berjaya dipertahankannya sejak 2022.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×