PETALING JAYA: Penggunaan warden trafik wajar dipertimbangkan dalam garis panduan baharu keselamatan sekolah bagi mengurangkan risiko kemalangan melibatkan pelajar di kawasan sekolah.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, kewujudan warden trafik dapat membantu memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin terutama ketika melintas jalan dan menunggu ibu bapa atau bas sekolah selepas tamat sesi persekolahan.
Katanya, kebanyakan sekolah ketika ini berada di kawasan jalan besar dan laluan utama yang mempunyai aliran trafik sibuk sehingga boleh mendedahkan pelajar kepada risiko kemalangan jika tiada kawalan keselamatan yang lebih tersusun.
“Perlu ada warden trafik untuk memastikan pelajar melintas jalan dengan selamat dan mereka berada di tempat yang disediakan sementara menunggu bas sekolah atau ibu bapa datang mengambil mereka.
“Bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku di kawasan sekolah, tempat letak kereta guru juga perlu disediakan di kawasan khas dan tidak boleh berada di laluan pelajar keluar masuk sekolah.
Maklumlah pelajar ramai dan kadangkala guru tak sedar ada pelajar berhampiran ketika memandu keluar dari kawasan sekolah.
“Langkah seperti menyediakan warden trafik, kawasan parkir khas untuk guru dan memastikan pergerakan kenderaan guru hanya dilakukan selepas pelajar keluar dari sekolah boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memuktamadkan garis panduan baharu dengan mengambil kira saranan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan bagi memperkukuh aspek keselamatan di sekolah.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan dan Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, KPM perlu mewajibkan sekolah mempunyai pelan pengurusan trafik standard termasuk laluan sehala dan waktu pergerakan berperingkat bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan sekolah.
Pelaksanaan audit keselamatan secara berkala di kawasan sekolah juga membantu mengenal pasti sebarang kelemahan infrastruktur dan aspek keselamatan yang boleh mengundang risiko kepada murid.
“KPM boleh memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak polis bagi memastikan pemasangan bonggol jalan, lampu isyarat, kamera pemantauan dan papan tanda had laju ikut keperluan sebenar sekolah.
“Aspek pendidikan keselamatan juga perlu dijadikan budaya. Murid, ibu bapa dan komuniti perlu diberikan kesedaran berterusan bahawa keselamatan di kawasan sekolah ialah tanggungjawab bersama, bukan hanya tugas pihak sekolah semata-mata,” katanya. – UTUSAN










