JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia yang masih menggunakan MyKad lama tidak perlu tergesa-gesa menukar kepada versi baharu yang akan diperkenalkan mulai 1 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, orang ramai juga diminta tidak berpusu-pusu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana tiada keperluan segera berbuat demikian.
Beliau menjelaskan, undang-undang sedia ada hanya mewajibkan setiap rakyat Malaysia berusia 12 tahun ke atas memiliki MyKad, namun tidak menetapkan pemegang MyKad lama wajib menukarnya sebaik sahaja versi baharu diperkenalkan.
Katanya, proses penggantian boleh dilakukan secara berperingkat mengikut keperluan semasa pemegang kad.
“Jadi apabila kita kata mulai 1 Jun kita akan perkenalkan MyKad baharu dengan ciri-ciri keselamatan baharu, itu yang kita maksudkan. Ada lebih 20 juta rakyat memiliki MyKad, jadi saya minta jangan berpusu-pusu pergi ke JPN pada 1 Jun untuk tukar, ambil masa sedikit,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke tapak ICQS Stesen Bukit Chagar dan RTS Link, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Saifuddin Nasution berkata, memiliki MyKad adakah wajib untuk seluruh rakyat Malaysia tetapi tidak menukarnya secara serentak.
Tambah beliau, pengeluaran MyKad baharu itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkukuh ciri keselamatan dokumen pengenalan diri berkenaan selaras perkembangan teknologi semasa.
“Tujuan kita perkenalkan MyKad baharu adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dan integriti dokumen pengenalan negara,” katanya sambil memberitahu individu pertama kali memohon MyKad selepas tarikh tersebut akan menerima kad pengenalan diri versi baharu.
Semalam, Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata, MyKad baharu itu dilengkapi 53 ciri keselamatan termasuk imbasan kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan.
Antara ciri-ciri itu termasuklah turihan laser, ultraviolet UV, hologram, guilloche, microtext serta cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan. – UTUSAN










