Venezuela sahkan tahanan politik mati dalam penjara selepas hampir setahun

Venezuela sahkan tahanan politik mati dalam penjara selepas hampir setahun

AHLI keluarga tahanan politik berpelukan ketika menonton siaran langsung ucapan Timbalan Dewan Negara, Jorge Rodriguez, mengenai rang undang-undang pengampunan di luar penjara El Rodeo I di Guatire, negeri Miranda, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Kementerian Penjara Venezuela pada Khamis mengesahkan kematian seorang tahanan politik hampir setahun selepas beliau meninggal dunia dalam tahanan, selepas ibunya menghabiskan beberapa bulan mencari keberadaannya tanpa hasil.

Víctor Hugo Quero Navas, 51, ditahan pada Januari 2025 atas tuduhan keganasan, satu pertuduhan yang sering digunakan terhadap penentang kerajaan di bawah pentadbiran Presiden sosialis yang digulingkan, Nicolas Maduro.

Kementerian itu memaklumkan bahawa selepas semakan ke atas fail tahanan berkenaan, Quero disahkan meninggal dunia pada 24 Julai 2025 akibat kegagalan pernafasan akut sekunder kepada tromboembolisme pulmonari di sebuah hospital tentera di Caracas.

Ibunya, Carmen Navas, dilaporkan giat mencari anaknya sepanjang tempoh tahanan, namun gagal mendapatkan sebarang maklumat rasmi mengenai lokasinya.

Kementerian turut mendakwa, Quero tidak memberikan maklumat mengenai ahli keluarganya semasa dalam tahanan dan tiada permohonan lawatan daripada mana-mana ahli keluarga diterima.

Kumpulan hak asasi manusia utama Venezuela, Foro Penal, menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘memalukan’ dan menuduh pihak berkuasa sengaja merahsiakan maklumat daripada keluarga Navas, beberapa bulan selepas anaknya meninggal dunia.

Pada Khamis, perkhidmatan penjara membawa Navas ke satu kawasan tanah kosong di sebuah tanah perkuburan di Caracas yang hanya ditandakan dengan beberapa batu dan kepingan besi bertulis nama anaknya.

Selepas meletakkan sejambak bunga di atas kubur tersebut, beliau meminta ujian DNA dijalankan bagi mengesahkan identiti mayat berkenaan.

Pendakwa raya berkata pada Khamis, mayat itu akan digali semula tanpa sebarang kelewatan, dengan pasukan forensik.

Quero dilaporkan dimasukkan ke hospital 10 hari sebelum kematiannya selepas mengalami pendarahan saluran gastrousus atas dan sindrom demam akut, menurut kerajaan.

Pihak kerajaan turut memaklumkan dia dikebumikan pada 30 Julai 2025 mengikut protokol undang-undang.

Ombudsman baharu Venezuela, Eglee Gonzalez, menggesa siasatan dijalankan terhadap kematian Quero.

Sejak 2014, sekurang-kurangnya 19 tahanan politik dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan, menurut Foro Penal.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×