Kajian PKR bertujuan perkukuh kekuatan parti

Kajian PKR bertujuan perkukuh kekuatan parti

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kajian didedahkan PKR menerusi dokumen Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier bukanlah bertujuan melemahkan parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, kajian itu sebaliknya adalah usaha memperkukuhkan kekuatan PKR dan memperkemaskan kedudukan parti bagi menguatkan PH menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, kajian berkenaan tidak melambangkan apa-apa kerana lebih penting ia memberi gambaran tentang kekuatan dan kedudukan PH dalam Parlimen yang ditandingi dan memenangi kerusi itu.

“Kajian ini adalah lebih kepada mengemas kini jentera agar lebih berhati-hati supaya menumpukan gerak kerja pilihan raya nanti.

“Saya tidak buat rumusan seperti mana media membuat pelbagai rumusan dan rumusan itu nampaknya jauh daripada tujuan kajian dibuat.

“Hakikatnya ia adalah untuk memastikan kawasan itu diperbaiki mutu gerak kerja agar menjadi lebih baik bukan sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebuah portal berita kelmarin menyiarkan artikel memaparkan analisis strategik PRU16 Parlimen Malaysia dalaman PKR yang dibentangkan seorang pemimpin kanannya.

Dokumen bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier itu menunjukkan bahawa PKR kini sebuah parti yang sedang dalam mod berjaga-jaga, bergelut dengan realiti bahawa penguasaan mereka di kerusi-kerusi utama kini semakin terhakis.

Banyak kawasan Parlimen yang wakil rakyatnya menjadi menteri malah Perdana Menteri sendiri diletakkan di bawah Tier 2B (marginal) se­perti Sungai Petani, Tanjung Malim dan Tambun.

Parlimen Gombak dan Sungai Buloh pula dalam Tier 3 yang memerlukan intervensi luar biasa atau bantuan khas Pusat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×