JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tidak sesekali akan mengibar bendera putih setelah dimalukan penyandang juara Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 1-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Menurut Munoz, peluang JDT belum tertutup, malah pihaknya yakin masih ada ruang buat Harimau Selatan untuk mara ke pentas final ACC buat pertama kali.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu akui kecewa apabila benteng pertahanan tampak leka hingga membenarkan gawang dibolosi tiga kali pada perlawanan tersebut.
“Kita menguasai permainan dengan baik dan kerap melancarkan serangan dari bahagian sayap namun ketumpulan sentuhan jaringan membezakan aksi kedua-dua pasukan.
“Kita sedar kemampuan penyerang import mereka, Guilherme Bissoli namun kecuaian membuka ruang buat pemain kelahiran Brazil itu mencipta jaringan sekali gus meranapkan impian untuk mengikat mereka.
“Kita akan buat bedah siasat mengenai perlawanan ini dan mencari ruang yang boleh ditambah baik. Saya minta maaf kepada penyokong JDT setelah keputusan perlawanan tidak memihak kepada kita,” katanya.
Dalam pada itu, Munoz berkata, ketiadaan Bergson Da Silva akibat kecederaan jelas menjejaskan persiapan pasukan.
Munoz tetap optimis JDT mampu memberi tentangan sengit kepada Buriram pada aksi kedua di Stadium Arena Chang, 13 Mei ini. – UTUSAN










