SETIU: Seorang wanita di Kampung Pengkalan Gelap di sini setia mempertahankan warisan kraf tangan tradisional dan tidak menang tangan menyiapkan tempahan lekar diperbuat daripada lidi daun nipah.
Norwati Mohd., 57, berkata, dahulu lekar atau alas periuk dan kuali yang dianyam daripada lidi dijual secara meluas, ekoran seni pembuatannya banyak dikuasai penduduk setempat.
Katanya, seiring masa berjalan, pembuatan lekar kian sepi apabila golongan warga emas yang dahulunya rancak mengusahakannya tidak lagi aktif.
“Kini hanya saya yang masih aktif membuat lekar dan permintaannya melebihi kudrat saya. Setiap bulan saya hanya mampu menghasilkan kira-kira 400 biji lekar.
“Jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan yang setiap hari semakin banyak, apatah lagi apabila berdepan kekangan mendapatkan lidi nipah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Norwati, lekar yang dihasilkannya bukan sahaja berfungsi sebagai alat kegunaan harian, malah melambangkan kreativiti dan kehalusan seni masyarakat dahulu dan kini ia banyak digunakan untuk perhiasan serta dekorasi majlis.
Katanya, proses pembuatannya memerlukan ketelitian tinggi, bermula dengan pengumpulan lidi nipah kering sebelum diraut dan dianyam mengikut bentuk diinginkan.
Ujarnya, permintaan terhadap lekar lidi nipah meningkat terutama menjelang musim perayaan dan program kebudayaan apabila ramai yang mencari barangan tradisional sebagai hiasan atau kegunaan.
“Membuat lekar memerlukan kesabaran, kemahiran dan berfikiran kreatif kerana corak dibuat berdasarkan imaginasi pembuatnya,” katanya. – UTUSAN











