Bermula sepasang kerbau, kini membiak lebih 200 ekor - Utusan Malaysia

Bermula sepasang kerbau, kini membiak lebih 200 ekor

WAN Rokman Wan Ngah memberikan makanan sambil memantau sebahagian kerbaunya di Kampung Bukit Mat Daling, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Bermula dengan ha­nya sepasang kerbau sedekad lalu, seorang penternak dari Kampung Bukit Mat Daling, Ulu Tembeling dekat sini, kini memiliki kira-kira 200 ekor sebagai sumber pendapatan keluarganya.

Wan Rokman Wan Ngah, 59, berkata, 10 tahun lalu, dia memelihara sepasang kerbau untuk mengisi masa lapang selepas menoreh getah sambil berharap ternakan itu dapat membiak.

“Lama-kelamaan ia bertukar menjadi seronok dan saya mula serius menceburi bidang ternakan selepas melihat ia mem­biak, selain wujudnya permintaan pasaran luar,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Wan Rokman, selepas kerbau betina pertamanya bunting, dia membeli beberapa ekor lagi untuk diternak sehingga bertambah kepada 12 ekor pada tahun berikutnya.

“Alhamdulillah, rezeki tidak salah alamat dan sekarang ternakan ini membiak lebih 200 ekor. Ada yang sudah dijual kepada peraih dan penduduk yang melakukan ibadat korban sebelum ini,” katanya.

Wan Rokman berkata, pada sebelah pagi, ternakannya dilepaskan di kawasan lapang untuk meragut rumput berdekatan Sungai Tembeling dan pinggir hutan sekitar Kampung Ta­nah Pindah, Kampung Machang Perah serta Kampung Semena.

Katanya, ia dikumpulkan semula di kandang menjelang petang bagi mengelakkannya berkeliaran di hutan, dibimbangi serangan harimau kumbang.

“Saya cuma mengetuk tin berisi air garam untuk memang­gil ternakan ini pulang dan berkumpul memasuki kandang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini