SETIU: Lazimnya kerjaya memandu bot didominasi golongan lelaki, namun bagi Siti Aisyah Umairah Tan Abdullah, 40, atau Tan Yuk Keng, ia bukan penghalang untuk mengemudi dan meredah ombak saban hari membawa penumpang.
Siti Aisyah Umairah dari Kampung Merang di sini mula menceburi bidang itu 14 tahun lalu selepas kali pertama mengemudi bot pelancong di bawah bimbingan bapa angkatnya, Ku Mansor Ngah yang merupakan pemandu bot di Pulau Redang.
Lulusan sarjana perakaunan dari sebuah universiti di United Kingdom (UK) itu berkata, pada mulanya dia bekerja sebagai akauntan di sebuah resort di Pulau Redang, sebelum membeli sebuah bot dan bertekad memulakan kerjaya baharu.
“Ketika itu saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli bot tetapi dengan bantuan salah seorang pengusaha bot yang beroperasi di Pulau Redang, saya dapat membelinya dan melunaskan bayaran dalam setahun.
“Kini, alhamdulillah saya memiliki lima bot yang dikendalikan oleh saya sendiri dan beberapa pekerja. Kerjaya sebagai pemandu bot bukan sekadar mencari rezeki tetapi simbol keberanian memecah stereotaip ia kerja lelaki,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai kekangan, dia tidak pernah putus asa kerana percaya wanita mampu berjaya dalam semua bidang jika diberi peluang.
Ujarnya, dia mencipta sejarah tersendiri menjadi wanita pertama di Merang yang menceburi bidang itu secara aktif, sekali gus membuka ruang baharu dalam sektor pelancongan marin.
“Apabila menjadi satu-satunya pemandu bot wanita di sini, ia bukan tugas mudah apabila terpaksa berdepan pelbagai cabaran yang mana kemampuan dan kekangan fizikal sebagai wanita diragui.
“Sebab itu saya bertekad membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukan kerja-kerja yang dikuasai oleh golongan lelaki. Setelah sekian lama berkecimpung dalam bidang ini, saya kini diterima sepenuhnya dalam kelompok tersebut,” katanya.
Siti Aisyah Umairah Tan berkata, dia juga mempunyai kebolehan membaiki bot dan pelbagai jentera berat yang diasah sejak zaman persekolahan, kerana sering melihat bapanya membaiki bas.
“Dari situ, timbulnya minat untuk saya mencuba perkara sama. Awalnya saya bermula dengan membaik pulih motosikal sehingga diberi kepercayaan untuk membaiki bas,” katanya. – UTUSAN











