Segera berubah kerana jasa lama UMNO bukan lagi jaminan sokongan

Segera berubah kerana jasa lama UMNO bukan lagi jaminan sokongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BERHENTILAH jual sejarah, mulakan jual masa hadapan. UMNO tidak boleh lagi terperangkap dalam nostalgia.”

Begitulah kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, Sabtu lalu.

Boleh dikatakan, hampir setiap pimpinan tertinggi parti tersebut mengulang-ulang perkara sama dalam ucapan mereka pada konvensyen yang berlangsung hampir 10 jam itu.

Tidak dinafikan, UMNO sedar mereka tidak lagi dominan dan bukan lagi menjadi pilihan rakyat selepas tewas dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu.

Dalam konvensyen sama, turut diulang-ulang kekalahan teruk UMNO pada 2018 yang menoktahkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Pada tahun itu, UMNO menerima ucapan belasungkawa, malah turut ‘ditalkinkan’ pihak lawan.

Bagi memastikan sejarah gelap itu tidak berulang, pimpinan tertinggi UMNO tidak henti-henti menyeru akar umbi parti untuk bangkit, memperkukuh jentera serta kembali mendekati rakyat.

Ini merupakan isyarat terang lagi jelas UMNO sedar mereka perlu ‘bangun dari tidur’ dan berhenti mencanang kejayaan-kejayaan lalu.

Usia 80 tahun perlu, harus dan mesti menjadi satu titik refleksi bagi parti keramat itu sekiranya mereka ingin kembali relevan.

UMNO tiada cara lain melainkan melakukan satu penentu ukuran semula dengan segera bagi mendepani cabaran dalam era pasca dominasi.

Nama UMNO sahaja tidak lagi cukup untuk meraih sokongan. Pengundi hari ini semakin matang, lebih kritikal dan enggan lagi tunduk kepada nostalgia semata-mata.

Jika ingin maju, mereka perlu pandang ke hadapan dan menawarkan sesuatu yang jelas, segar dan relevan kepada rakyat.

Mahu tidak mahu, UMNO perlu keluar dari perangkap sentimental.

Memetik ucapan Mohamad lagi, UMNO tidak pernah mati dan tidak hilang tetapi sedang diuji. Setiap kali diuji, UMNO mesti bangkit lebih kuat.

Benar, UMNO telah mencorak sejarah negara, namun ia tidak boleh kekal menjadi satu-satunya modal politik bagi menagih simpati pengundi.

UMNO tidak perlu gusar kerana mereka masih mempunyai asas yang kukuh. Kebanyakan ahli-ahlinya mempunyai kecintaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap parti.

Ada ahli yang hilang jawatan, kuasa dan kedudukan, namun keyakinan terhadap UMNO tidak pernah padam. Bagi mereka, kesetiaan adalah segalanya, hidup mati mereka tetap bersama UMNO.

Jentera parti di peringkat akar umbi juga sudah ada, cuma menunggu masa untuk dihidupkan semula. Tetapi, jangan pula jentera-jentera ini hanya bergerak secara bermusim atau tiba-tiba muncul ketika pilihan raya.

Rakyat tidak mahu hanya diziarahi ketika undi diperlukan, mereka mahu didengar ketika hidup semakin menekan.

Malah, pengalaman mentadbir negara selama lebih enam dekad juga membuktikan UMNO mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam mengurus krisis.

Prinsip UMNO juga tidak pernah berubah. Sejak dahulu lagi, perjuangannya berteraskan agama, bangsa dan negara.

Dalam kerjasama politik, kompromi mungkin perlu, tetapi bagi UMNO, ada sempadan yang tidak boleh dirunding.

Malah, UMNO juga bersedia untuk ‘menepis’ tangan sekutu politiknya sekiranya melanggar tiga ‘garis merah’, iaitu hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan raja-raja Melayu.

Fokus UMNO sekarang adalah untuk merawat, memulih dan membangun semula parti. Akarnya masih kuat, namun persoalannya, adakah mampu menumbuhkan pohon baharu?

Oleh itu, reformasi UMNO tidak boleh sekadar bergema-gema di pentas konvensyen. Ia perlu dibawa turun ke lapangan, diuji di tengah rakyat dan dibuktikan melalui gerak kerja yang konsisten.

Jika tidak, segala seruan untuk berubah hanya akan menjadi retorik yang sedap didengar tetapi gagal mengubah persepsi rakyat.

Daripada kesedaran inilah lahir keperluan untuk UMNO mencari semula ruang penyatuan, bukan sahaja dalam kalangan ahli tetapi juga dalam ruang lingkup politik negara yang lebih luas.

 

GAGASAN RUMAH BANGSA

Antara strategi utama UMNO untuk menarik semula sokongan orang Melayu ialah gagasan Rumah Bangsa yang diilhamkan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Penggunaan perkataan ‘rumah’ itu sendiri menunjukkan kesudian UMNO untuk menerima sesiapa sahaja untuk bernaung di bawah bumbung yang sama.

Gagasan itu juga bukan semata-mata untuk merekrut ahli parti tetapi menjadi medan untuk intelektual Melayu menggembleng tenaga dan mengerah idea dalam memperkukuh agenda bangsa.

Maka, Rumah Bangsa tidak boleh kekal sebagai metafora indah semata-mata. Jika pintu rumah UMNO dibuka seluas-luasnya, siapa yang mahu menjadi penghuninya?

Malang sekali, inisiatif tersebut setakat ini tidak mendapat sambutan daripada parti-parti lain.

Rumah itu mungkin sudah tersedia tetapi keyakinan untuk menghuni masih belum terbina. Lagipun, bukan semua mahu masuk dan menerima UMNO sebagai tuan rumah.

Seperti apa yang pernah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang katakan, UMNO perlulah mencari ‘penghuni lain’ untuk rumah tersebut. Jika tidak, takut nanti dimasuki bermacam jenis hantu yang nantinya jadi penunggu.

Menurut Abdul Hadi, Pas tidak bersedia untuk berada dalam satu rumah besar yang tidak beratap dan tercabut dindingnya.

Pas juga enggan bekerjasama dengan UMNO yang sebahagian pemimpinnya didakwa berpegang dengan kepercayaan Melayu sebelum Islam sehinggakan sanggup bersahabat dan berwala’ dengan DAP.

Namun, adakah itu bermaksud gagasan yang dibina atas dasar wadah penyatuan itu gagal?

Menerusi gagasan Rumah Bangsalah, UMNO berjaya melembutkan hati Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Khairy Jamaluddin.

Persis kiambang yang bertaut semula selepas biduk berlalu, akhirnya mereka ini ‘pulang’ semula ke rumah asal.

Semuanya atas dasar kecintaan dan kesetiaan kepada parti, serta niat untuk menyambung semula perjuangan yang masih berbaki.

Bagaimanapun, pada usia 80 tahun, UMNO tidak boleh lagi sekadar menunggu di pintu rumah, mengharapkan siapa lagi yang mahu pulang.

Kepulangan bekas pemimpin mungkin mengubat luka dalaman parti, namun belum tentu cukup untuk memulihkan keyakinan pengundi.

UMNO perlu berani bermuhasabah diri. Mengapa ada yang dahulu setia akhirnya memilih untuk melangkah pergi? –UTUSAN MALAYSIA

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×