NEGARA digemparkan dengan kes seorang isteri yang dicederakan suaminya hingga mengalami keguguran di Kedah. Lebih menyedihkan, pelaku terbabit pernah disabitkan dalam kes hampir sama di Johor apabila didapati bersalah mencederakan bekas isterinya yang ketika itu hamil 10 minggu pada Mei 2021.
Pelaku iaitu Rosmaini Abdul Raof didakwa pada awalnya di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru di bawah seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 326A Kanun Keseksaan pada Jun 2021. Setelah menjalani prosiding perbicaraan, pada 9 Disember 2024 Mahkamah mensabitkan Rosmaini bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun.
Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Rosmaini memfailkan rayuan dan pada 4 November 2025, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan sabitan dan hukuman 10 tahun. Ketika itu, Rosmaini memohon penggantungan hukuman sementara rayuan didengar dan diputuskan di Mahkamah Rayuan dan permohonan ini dibenarkan.
Akhirnya pada 4 Mei lalu, Mahkamah Rayuan, yang diketuai oleh panel hakim Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid, menolak rayuan Rosmaini, malah memutuskan untuk menambah hukuman penjara dari 10 tahun ke 14 tahun selain memerintahkannya menurut peruntukan Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM25,000 kepada keluarga mangsa atau tambahan penjara enam bulan jika dia gagal membayar pampasan ini.
Masyarakat menyambut baik keputusan ini. Bukan sahaja hukuman penjara yang ditambah tetapi juga dengan perintah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa. Walaupun jumlah ganti rugi itu tidak dapat mengubati kesusahan yang terpaksa dialami mangsa dan anaknya tetapi menjadi petunjuk jelas isu keganasan rumah tangga tidak pernah sekali dipandang enteng oleh pihak berkuasa.
Menurut laporan media, sebanyak 4,276 kes keganasan rumah tangga yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh 2021 hingga Oktober 2024. Golongan wanita masih menjadi mangsa tertinggi dengan laporan sebanyak 3,929 kes manakala 347 kes lagi melibatkan mangsa lelaki.
Perlu diingatkan angka ini hanyalah jumlah insiden berdasarkan laporan. Sedangkan hakikat sebenar wujud kebarangkalian angka yang lebih tinggi memandangkan banyak kes tidak dilaporkan atau kes dilaporkan tetapi tidak diteruskan dengan penyiasatan. Ia ekoran pengandu menarik balik laporan atas nama kasih dan sayang kepada pelaku.

UNDANG-UNDANG ADIL
Mekanisme undang-undang diwujudkan bagi melindungi mangsa, termasuk golongan isteri. Dalam konteks ini, perundangan syariah menerusi Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memberi kuasa kepada mahkamah untuk membubarkan perkahwinan sekiranya suami bertindak zalim, kerap menyakiti atau menyebabkan kehidupan isteri menderita.
Jelas undang-undang keluarga Islam menyediakan ruang dan perlindungan kepada isteri yang dizalimi atau dianiaya suami.
Selain itu, melalui Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] memperuntukkan perlindungan undang-undang dalam situasi keganasan rumah tangga. Antaranya melalui seksyen 3A, mangsa boleh membuat permohonan bagi perintah perlindungan. Undang-undang seperti ini akan mengurangkan risiko mangsa daripada dianiaya atau dizalimi dengan lebih teruk oleh pasangan masing-masing.
CADANGAN KEPADA KERAJAAN
Kendatipun pelbagai jenis perundangan yang wujud, namun lebih baik untuk kerajaan merangka langkah-langkah pencegahan agar kes keganasan rumah tangga seperti ini dapat dicegah. Bakal pasangan pengantin bukan sahaja perlu didedahkan dengan perundangan berkenaan perkahwinan dan penceraian tetapi juga perlu disiapkan langkah-langkah untuk melindungi diri serta anak-anak dari keganasan yang dilakukan pasangan.
Ini sangat penting kerana terdapat kes keganasan rumah tangga yang dibawa ke pengetahuan polis sebenarnya bukanlah kali pertama yang terjadi. Ada yang berkali-kali dicederakan pasangan tetapi tidak diadukan. Mungkin mangsa takut lalu mengelak daripada mengadukan hal perkahwinan yang tidak bahagia kerana khuathir pandangan keluarga ataupun masyarakat sekeliling.
Menangani masalah keganasan rumah tangga memerlukan sistem sokongan yang baik lebih-lebih lagi dari dalam kalangan keluarga sendiri. Stigma negatif harus dijauhkan terhadap mangsa untuk mengelakkan ketakutan apabila berkongsi insiden-insiden seperti ini. Sekiranya tidak, mangsa akan berdiam diri dan akan terus dianiayai pasangan dan lebih memilukan apabila kejadian ini dilihat anak masing-masing yang masih kecil.
Anggota masyarakat pula perlu menunjukkan empati kepada mangsa. Jangan ditambah garam kepada luka. Tidak perlu bagi ahli masyarakat untuk mendahului siasatan pihak polis dalam menjustifikasi kekerasan yang dilakukan terhadap mangsa.
Tiada keganasan yang boleh dimaafkan waima dalam apa bentuk sekalipun kerana masih merupakan perlakuan zalim. Mana-mana insiden yang diketahui perlulah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian lebih teruk dan parah.
Tuntasnya, perundangan Kanun Keseksaan dan lain-lain perundangan telah ada dan wujud untuk melindungi wanita dari keganasan rumah tangga dan menghukum pelaku.
Namun, yang lebih penting ialah kesedaran terhadap hak serta langkah mendapatkan perlindungan agar mangsa tidak terus dipukul dan dicederakan. Pasangan bukanlah tempat melepaskan kemarahan atau ‘beg tinju’, sebaliknya mereka ialah insan yang mempunyai maruah, harga diri dan disayangi keluarga mereka sendiri.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Pengarah Pusat Kajian & Penyelidikan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).











