Krisis bahan api merebak dari Riau ke Kalimantan

Krisis bahan api merebak dari Riau ke Kalimantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Krisis kekurangan bekalan bahan api yang sebelum ini melanda beberapa kawasan di Riau minggu lalu kini merebak ke Palangkaraya di Kalimantan Tengah serta Balikpapan di Kalimantan Timur, apabila barisan panjang mula kelihatan di stesen minyak susulan orang ramai berebut mendapatkan bekalan.

Di Palangkaraya, beberapa stesen minyak milik syarikat tenaga negara, Pertamina, dilaporkan kehabisan stok bahan api RON92 tanpa subsidi dikenali sebagai Pertamax, manakala stesen lain menyaksikan barisan kenderaan memenuhi hingga ke jalan utama.

Orang ramai mendakwa terpaksa menunggu sehingga sejam untuk mengisi minyak, malah ada yang pulang tanpa memperoleh bekalan walaupun sudah lama beratur.

Bagi menangani kekurangan bekalan yang berterusan, Datuk Bandar Palangkaraya, Fairid Naparin, mengeluarkan pekeliling pada 5 Mei lalu yang menetapkan had pembelian harian bahan api di semua stesen minyak di bandar itu.

Di bawah dasar berkenaan, kereta persendirian hanya dibenarkan membeli sehingga 200,000 rupiah (RM45) bahan api bersubsidi Pertalite sehari, bersamaan kira-kira 20 liter, dan sehingga 400,000 rupiah (RM90) Pertamax atau sekitar 32.5 liter.

Bagi motosikal pula, pembelian Pertalite dihadkan kepada 50,000 rupiah (RM11.25) sehari atau kira-kira lima liter, manakala Pertamax dihadkan kepada 100,000 rupiah (RM22.50), bersamaan sekitar lapan liter.

“Langkah ini bertujuan memastikan pengagihan bahan api kekal adil di seluruh Palangkaraya,” kata Fairid pada 6 Mei lalu seperti dipetik Kompas.com.

Menerusi pekeliling itu, beliau turut mengarahkan pengusaha stesen minyak supaya menolak urus niaga bagi kenderaan yang diubah suai atau mempunyai tangki tambahan lebih besar, selain cubaan mengisi minyak berulang kali.

Beliau juga mengenakan larangan menyeluruh terhadap pembelian bahan api menggunakan tong atau jeriken untuk tujuan jualan semula, kecuali bagi sektor pertanian dan perikanan yang disokong surat rekomendasi rasmi.

Datuk Bandar itu turut melarang kenderaan kerajaan menggunakan bahan api bersubsidi seperti Pertalite dan biosolar.

“Peraturan ini dikecualikan bagi kenderaan perkhidmatan awam seperti ambulans, van jenazah dan kenderaan kutipan sampah milik majlis bandaraya,” katanya.

Di Balikpapan pula, ratusan pemandu lori dan pelajar mengadakan bantahan di luar Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) bandar itu pada 4 Mei lalu bagi meluahkan kekecewaan terhadap kekurangan bekalan diesel bersubsidi sejak kebelakangan ini.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×