BEIJING: Iran hanya akan menerima perjanjian yang adil dan menyeluruh dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang di Asia Barat.
Perkara itu ditegaskan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, ketika Presiden AS, Donald Trump, mendakwa terdapat ‘kemajuan besar’ dalam proses tersebut.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk melindungi hak dan kepentingan sah kami dalam rundingan ini. Kami hanya menerima perjanjian yang adil dan menyeluruh,” kata Araghchi selepas bertemu diplomat tertinggi China, Wang Yi, di Beijing.
Beliau tidak secara langsung mengulas tawaran Trump untuk menghentikan sementara operasi AS mengiringi kapal melalui Selat Hormuz, yang dikemukakan sebagai insentif bagi membantu mencapai perjanjian antara kedua-dua pihak.
Selat Hormuz hampir ditutup sepenuhnya sejak konflik bermula pada 28 Februari susulan serangan udara AS dan Israel ke atas Iran, sekali gus menjejaskan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia dan mencetuskan krisis tenaga global.
“Kami bersetuju bersama bahawa, walaupun sekatan akan terus berkuat kuasa sepenuhnya, Project Freedom akan dihentikan sementara untuk tempoh singkat bagi melihat sama ada perjanjian itu dapat dimuktamadkan dan ditandatangani,” kata Trump dalam hantaran di media sosial.
Susulan kenyataan itu, harga minyak mentah Brent susut 1.2 peratus kepada AS$108.60 (RM429) setong selepas jatuh 4 peratus pada sesi sebelumnya.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS pula turun 1.2 peratus kepada AS$101.06 (RM399) setong, selepas ditutup lebih rendah 3.9 peratus sehari sebelumnya.
Rumah Putih tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen mengenai kemajuan yang dicapai atau tempoh penangguhan operasi itu akan berlangsung.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bersama beberapa pegawai kanan pentadbiran lain berkata, Iran tidak boleh dibenarkan mengawal pergerakan trafik di Selat Hormuz.
Iran secara berkesan menutup laluan itu dengan mengancam untuk mengerahkan periuk api, dron, peluru berpandu dan bot serangan pantas.
AS pula bertindak balas dengan menyekat pelabuhan Iran serta melaksanakan operasi pengiring bagi kapal komersial.
Tentera AS pada 4 Mei memaklumkan ia memusnahkan beberapa bot kecil Iran, selain peluru berpandu jelajah dan dron.
Bagaimanapun, gencatan senjata rapuh yang dipersetujui empat minggu lalu dilaporkan masih bertahan.- AGENSI









