APABILA ketegangan di Selat Hormuz mencapai kemuncaknya, dunia menyaksikan betapa rapuhnya sistem bekalan tenaga global apabila sebuah laluan maritim yang lebarnya kurang daripada 50 kilometer berupaya menggoncang pasaran minyak antarabangsa dalam masa beberapa jam sahaja.
Ancaman Iran untuk menyekat selat itu, ditambah dengan keengganan China untuk membenarkan Amerika Syarikat (AS) bertindak secara ketenteraan tanpa kos ekonomi yang besar, mendedahkan hakikat yang selama ini jarang dibincangkan secara terbuka iaitu siapa yang mengawal laluan maritim kritikal, dialah yang sebenarnya memegang kuasa dalam sistem ekonomi global.
Malaysia perlu membaca isyarat ini dengan teliti. Selat Melaka, yang dilalui lebih 40 peratus perdagangan dunia termasuk 80 peratus import minyak China merupakan laluan yang kepentingan strategiknya tidak kalah daripada Selat Hormuz.
Malaysia berpeluang menggunakan Selat Melaka sebagai aset pembangunan yang produktif dan instrumen pengaruh diplomatik yang membina.
SELAT MELAKA SEBAGAI INSTRUMEN KUASA GEOEKONOMI
Geoekonomi sebagai disiplin akademik mendefinisikan aset geografi bukan sekadar dari sudut fizikal atau ekologi tetapi dari sudut nilai strategik yang dapat dimanfaatkan dalam hubungan antarabangsa.
Pengaruh terhadap laluan maritim strategik merupakan antara instrumen geoekonomi yang paling berkuasa bagi sesebuah negara kerana memberi kelebihan dalam rundingan yang jauh melebihi kekuatan ekonomi atau ketenteraan semata-mata.
Dalam konteks ini, Selat Melaka bukan sekadar jalur air yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Laut China Selatan tetapi nadi utama bagi ekonomi Asia Timur, dengan nilai barang yang melewatinya setiap tahun dianggarkan melebihi AS$ 5.3 trilion (RM 24.9 trilion) atau kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan perdagangan maritim global, menurut laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD, 2023).
Hakikat ini menjadikan Selat Melaka sebagai antara aset geografi yang paling berharga di permukaan bumi. Malaysia, bersama Indonesia dan Singapura mempunyai kedaulatan dan tanggungjawab perundangan ke atasnya.
Namun paradoks yang perlu diakui secara jujur adalah Malaysia setakat ini belum memaksimumkan nilai strategik aset geografi ini dengan sepenuhnya.
Walaupun Selat Melaka memberi manfaat besar kepada ekonomi global, namun masih tidak setanding dengan nilai strategiknya yang sebenar.
Berbeza dengan terusan Suez yang memberikan Mesir hasil cukai tol signifikan atau terusan Panama yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi. Malaysia tidak mempunyai mekanisme formal untuk ‘mengkomersialkan’ laluan melalui selat ini secara langsung dalam rangka kerja perundangan antarabangsa yang mengiktiraf kebebasan navigasi di perairan antarabangsa.
Justeru, strategi Malaysia perlu lebih kreatif dan tidak langsung iaitu bukan dengan mengenakan tol tetapi dengan menjadikan ekosistem perkhidmatan, infrastruktur dan tadbir urus di sekeliling selat itu sebagai sumber nilai ekonomi serta pengaruh strategik yang berterusan.
MEMPERKUKUH KERJASAMA TRILATERAL
Sejarah kerjasama antara ketiga-tiga negara pesisir Selat Melaka memberikan asas yang kukuh tetapi masih banyak ruang untuk dipertingkatkan.
Perjanjian 1971 yang mengisytiharkan Selat Melaka sebagai tanggungjawab bersama ketiga-tiga negara pesisir dan bukan di bawah rejim antarabangsa yang lebih luas, adalah pencapaian diplomatik jauh lebih signifikan daripada biasanya disedari.
Pada era Perang Dingin, keputusan Malaysia, Indonesia dan Singapura untuk bersatu menentang cadangan kuasa-kuasa besar untuk mengantarabangsakan pengurusan selat itu adalah bukti negara-negara kecil dan sederhana di rantau ini boleh bersatu untuk mempertahankan kepentingan bersama terhadap desakan kuasa yang jauh lebih besar.
Perjanjian ini memberikan ketiga-tiga negara pesisir asas perundangan untuk memainkan peranan utama dalam tadbir urus selat tersebut hingga ke hari ini.
Namun mekanisme kerjasama trilateral sedia ada, terutamanya melalui Kumpulan Pakar Teknikal Tiga Pihak (TTEG) dan program Mekanisme Kerjasama yang ditubuhkan pada 2007, masih beroperasi jauh di bawah kapasiti diperlukan untuk menghadapi cabaran geopolitik baharu yang sedang muncul.

MALAYSIA PUSAT PENYELESAIAN SENGKETA MARITIM YANG NEUTRAL
Antara semua peluang strategik terbuka kepada Malaysia dalam konteks meningkatnya ketegangan geopolitik maritim di rantau ini, paling bernilai dan paling kurang dieksploitasi ialah potensi menjadi pusat penyelesaian sengketa maritim yang neutral dan dipercayai.
Untuk memahami mengapa ini adalah peluang begitu bernilai, kita perlu mempertimbangkan landskap pertikaian maritim di Asia Tenggara secara keseluruhannya.
Laut China Selatan sahaja mempunyai pertindihan tuntutan yang melibatkan enam buah negara, iaitu China, Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan, dengan nilai sumber semula jadi yang dipertikaikan, termasuk minyak, gas serta sumber perikanan, dianggarkan melebihi trilion dollar.
Pada masa sama, peningkatan perdagangan maritim di rantau ini menjana volum yang semakin besar bagi sengketa komersial maritim, termasuk pertikaian kontrak pengangkutan, tuntutan insurans maritim dan kes-kes kerosakan atau kerugian kargo.
MENGKOMERSIALKAN GEOGRAFI
Dimensi ketiga dalam strategi menjadikan Selat Melaka sebagai aset adalah yang paling dekat dengan kehidupan ekonomi seharian rakyat Malaysia kerana melibatkan penciptaan nilai ekonomi yang nyata dan peluang pekerjaan berkualiti tinggi melalui pengkomersialannya yang lebih agresif.
Untuk memahami potensi yang belum diterokai sepenuhnya ini, kita boleh membandingkan dua pelabuhan yang beroperasi di dua hujung Selat Melaka.
Pelabuhan Singapura, merupakan antara pelabuhan tersibuk dan paling cekap di dunia berjaya menjana lebih daripada 170,000 pekerjaan langsung selain menyumbang kira-kira 7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui ekosistem perkhidmatan maritim yang komprehensif, merangkumi pengendalian kargo, pembiayaan maritim, insurans, arbitrasi serta perkhidmatan nilai tambah lain.
Ini contoh paling jelas tentang bagaimana kedudukan geografi di laluan maritim utama boleh diterjemahkan kepada kekayaan ekonomi berkekalan jika diurus dengan strategi yang betul dan komitmen jangka panjang secara konsisten.
Paling penting untuk difahami adalah peluang ini tidak akan kekal terbuka selama-lamanya. Apabila persaingan kuasa besar semakin meningkat, maka setiap pihak akan berusaha untuk membina pengaruhnya sendiri di rantau ini melalui pelaburan infrastruktur, perjanjian pertahanan dan tekanan diplomatik.
Negara yang bertindak lebih awal dalam mengisi ruang kepimpinan di Selat Melaka dengan agenda jelas dan kapasiti nyata akan berada dalam kedudukan jauh lebih kukuh untuk mempertahankan kepentingannya berbanding negara yang menunggu sehingga ruang itu diisi pihak lain.-UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.











