KUALA LUMPUR: Dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ yang dibentangkan di majlis perjumpaan 900 pimpinan PKR di Petaling Jaya, baru-baru ini disifatkan ‘cacat’ kerana tidak menggambarkan sentimen dan hakikat sebenar pengundi berbilang bangsa menjelang PRU16.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik Universiti Malaya, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, sebagai ahli akademik, beliau menolak pembahagian ‘tier’ yang tidak masuk akal tanpa sumber, kaedah penyelidikan dan tanpa penglibatan penyelidik yang bertauliah serta berpengalaman.
Malah, katanya, hasil dapatan yang didedahkan ini lebih menjurus kepada usaha untuk menggangu emosi dan mewujudkan kebimbangan berbanding menyediakan satu kajian yang komprehensif, meyakinkan dan berkala kerana melibatkan perubahan persepsi politik.
“Pelbagai faktor lain (pemboleh ubah) tidak dinyatakan secara jelas dalam dapatan sekali gus saya curiga dengan kejelasan hasil kajian yang diketengahkan ini.
“Saya sebagai ahli akademik dan tidak membuat ulasan berat sebelah, saya nampak jelas (dokumen kajian) ini adalah ‘cacat’,” katanya hari ini.

Sebuah portal berita semalam menyiarkan artikel yang memaparkan analisis strategik PRU16 Parlimen Malaysia dalaman PKR yang dibentangkan seorang pemimpin kanannya.
Dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ itu menunjukkan bahawa PKR kini sebuah parti yang sedang dalam mod berjaga-jaga, bergelut dengan realiti bahawa penguasaan mereka di kerusi-kerusi utama kini semakin terhakis.
Banyak kawasan Parlimen yang wakil rakyatnya menjadi menteri dan Perdana Menteri sendiri diletakkan di bawah Tier 2B (marginal) seperti Sungai Petani, Tanjung Malim dan Tambun selain penempatan Gombak dan Sungai Buloh ke dalam Tier 3 yang disandang oleh dua naib presiden PKR, iaitu Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R Ramanan diletakkan Tier 3 iaitu berada zon merah yang memerlukan intervensi luar biasa atau bantuan khas daripada Pusat.
Mengulas lanjut, Mohamad Tawfik berkata, fokus kajian PKR yang hanya menumpukan kepada 66 kerusi Parlimen pada PRU16 itu tidak meyakinkan kerana banyak perkara yang kabur dalam pengumuman situasi kedudukan kerusi-kerusi ini.
Katanya, ini seperti tidak dijelaskan pendekatan penyelidikan, jumlah populasi pengundi yang tepat dipilih untuk terlibat dalam kajian dan tempoh kajian dijalankan.
“Jika dalam perbincangan akademik, hasil pengumuman sedemikian dikatakan gagal kerana banyak perkara tidak jelas sumber dan hanya berdasarkan ‘gambaran’ grafik dan pembahagian ‘tier’ kerusi yang diragui.
“Di samping itu politik hari ini cenderung kepada penilaian persepsi, kajian tidak boleh dilakukan hanya sekali dalam tempoh panjang memandangkan persepsi boleh berubah dan penilaian persepsi adalah diukur menerusi kekerapan ke lapangan dan respon pengundi,” katanya. – UTUSAN










