PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan beberapa lagi inisiatif bagi mengurangkan beban rakyat dengan kali ini memberikan tumpuan kepada golongan peniaga kecil.
Bagi membantu menurunkan kos operasi golongan terbabit, agensi kerajaan telah diarah mengurangkan kadar sewaan premis perniagaan milik mereka kepada peniaga mulai bulan ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa berusaha mencari kaedah untuk mengurangkan beban peniaga mengikut keupayaan sendiri dan langkah pertama dilakukan adalah mengurangkan kadar sewa berkenaan.
Jelas Perdana Menteri, kebanyakan premis perniagaan peniaga kecil dimiliki agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).
“Mulai bulan ini juga akan mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka. Perkara itu akan diumumkan mengikut daerah dalam masa terdekat ini,” katanya pada Sidang Media Krisis Bekalan Global, semalam.
Perdana Menteri berkata, meneladani inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah menurunkan kadar sewaan premis miliknya, beliau turut menyeru supaya semua PBT di seluruh negara untuk mengambil pendekatan sama.
“Saya ucapkan terima kasih kerana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah menyambut secara positif dan mengumumkan dalam masa yang terdekat, menurunkan kadar sewa semua premis perniagaan terutama perniagaan kecil, penjaja dan kedai-kedai makanan.
“Tentunya ini bidang kuasa PBT dan kerajaan negeri yang lain. Saya ingin menggesa mereka menurunkan dengan kadar segera dan berkuat kuasa bulan ini juga, untuk mengurangkan tekanan dan beban yang memang dihadapi oleh peniaga dan penjaja ini,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi bahawa inisiatif itu diambil susulan keluhan peniaga-peniaga yang terkesan akibat kenaikan harga kos walaupun ia diakui tidak begitu melonjak berbanding sebelumnya.
“Minggu lalu sebelum solat Jumaat saya ke gerai, warung makan di Rawang dan kakak itu, walaupun cara baik dan sopan, saya terasa keluhannya kerana terpaksa berdepan dengan kos barangan yang meningkat, walaupun kata beliau sedikit.
“Tapi sedikit (jika berlaku kenaikan) setiap minggu, jadi kalau sudah empat minggu berterusan tentunya mengesankan dan menyukarkan perniagaan beliau,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri memaklumkan, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut bersetuju untuk membayar RM200 kepada 240,000 pesawah berdaftar sebagai wang pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan.
Katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM48 juta pada minggu ini supaya agihan bantuan itu dapat disegerakan seterusnya membolehkan penanaman padi musim ini dapat terus beroperasi
“MTEN bersetuju membayar wang pendahuluan iaitu kadar khas insentif pembajakan kerana mereka (pesawah) terpaksa menyewa mesin bajak, jadi operasi pembajakan itu mesti diteruskan tetapi mereka perlukan modal.
“Oleh itu, kita berpendapat lebih baik diberikan pendahuluan RM200 supaya mereka boleh terus bergerak menjalankan kegiatan penanaman padi,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan cakna akan masalah dihadapi kumpulan pesawah terutamanya di Kedah yang menghadapi kemarau panjang daripada kebiasaan, sekali gus mengakibatkan kesukaran kepada mereka.
Katanya, oleh itu beliau telah mengarahkan operasi pembenihan awan dipertingkat oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu dalam operasi berkenaan.
Selain itu, Anwar berkata, program Jualan Rahmah Madani akan ditingkatkan kepada 30,000 program pada tahun ini berbanding 25,000 program yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk kawasan desa dan kampung terpilih.-UTUSAN.










