PETALING JAYA: Setiap cadangan untuk menaikkan atau menstrukturkan semula harga Beras Putih Tempatan (BPT) perlu mengambil pandangan semua pihak supaya keputusan akhirnya tidak membebankan pengguna.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, oleh itu kerajaan sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dan berhemah kerana ia melibatkan makanan ruji negara dan kepentingan rakyat secara langsung.
Katanya, sebarang keputusan juga tidak akan dibuat secara tergesa-gesa dan mesti mengambil kira pandangan pesawah, pengilang, pengedar dan pemain industri.
“Kementerian akan terus melaksanakan sesi libat urus bersama pemain industri, pesawah, pengilang, pengedar serta pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang keputusan yang diambil bersifat inklusif, seimbang dan mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahad lalu, Perikatan Nasional (PN) memaklumkan bersedia menetapkan harga lantai belian padi pada kadar RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Komitmen itu akan dimasukkan dalam manifesto gabungan berkenaan sebagai usaha meningkatkan pendapatan pesawah serta memperkukuh sektor agromakanan negara.
Jelasnya, kadar semasa sekitar RM1,500 per tan metrik dilihat tidak lagi mencukupi dan kenaikan kepada RM3,000 adalah munasabah bagi menjamin kelangsungan hidup pesawah.
Bagaimanapun, Pengerusi Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, cadangan PN itu tidak realistik dan hanya sekadar janji politik kerana ia boleh menyebabkan harga beras melonjak sehingga RM60 bagi 10 kilogram.
Menurut kementerian lagi, kerajaan selama ini mengambil langkah berterusan membantu pesawah melalui penyelarasan Harga Lantai Belian Padi (HLP), bantuan subsidi, insentif dan pelbagai program sokongan lain bagi memastikan industri berkenaan terus berdaya tahan.
Jelasnya, setiap langkah yang diambil juga bertujuan memastikan sistem sedia ada dapat disesuaikan dengan realiti kos semasa supaya pesawah terus mampu bertahan dan industri padi tempatan tidak semakin mengecil.
Katanya, jika pendapatan pesawah tidak lagi berdaya saing, negara berdepan risiko apabila generasi muda tidak berminat untuk terus terlibat dalam sektor penanaman padi.
“Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh meningkatkan kebergantungan negara terhadap beras import dan memberi kesan kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.
Kementerian menambah, cadangan penstrukturan harga BPT tidak boleh dilihat secara sempit sebagai isu kenaikan harga semata-mata, sebaliknya perlu difahami dalam konteks kelangsungan industri padi dan beras negara.
Katanya, harga kawalan BPT pada kadar RM2.60 sekilogram dikekalkan sejak 2008 bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada bekalan beras pada harga berpatutan.
Namun, kata kementerian, dalam tempoh hampir dua dekad itu, kos pengeluaran padi terus meningkat melibatkan input pertanian, upah pekerja, logistik, bahan api, pemprosesan dan kos pengendalian di sepanjang rantaian bekalan. – UTUSAN










