MENJELANG ulang tahun ke-80 pada 11 Mei ini, UMNO tidak lagi boleh sekadar berdiri megah atas sejarah silam. UMNO tidak lagi harus berulang kali menyebut sejarah kejayaan sedangkan realitinya kini sedang berdiri di atas titi, sama ada mampu meneruskan langkah atau jatuh jauh ke lubang yang dalam.
Harus diingat, parti keramat Melayu ini pernah hilang dominasi, hilang keyakinan sebahagian pengundi dan paling membimbangkan, hilang arah yang jelas.
Kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan hanya peroleh 54 kerusi pada 2018 dan prestasi hambar dalam PRU15 pada 2022 (26 kerusi) isyarat keras yang model lama UMNO sudah tidak lagi berfungsi.
Ini bukan soal rakyat sudah lupa jasa tetapi kegagalan UMNO membaca perubahan zaman.
Bahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika temu bual dengan media terpilih mengakui gagal menarik sokongan undi muda dalam PRU lalu tetapi kini melakukan beberapa usaha bagi menarik sokongan kelompok itu dengan cara komunikasi tanpa lisan. Akhirnya, berjaya apabila ramai mendaftar sebagai ahli baharu secara dalam talian.
Ingat, pengundi hari ini tidak lagi terikat dengan sentimental sejarah sebaliknya mereka menilai berdasarkan kredibiliti, integriti dan keupayaan menyelesaikan masalah semasa. Dalam hal ini, UMNO terpaksa menelan hakikat yang parti itu tidak lagi menjadi pilihan automatik, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu yang kini semakin terpecah.
Lebih pahit, UMNO belum cukup kuat untuk berdiri sendiri. Ini realiti yang tidak boleh diselindungkan. Kekuatan jentera belum pulih, sokongan akar umbi belum benar-benar bersatu, dan imej parti masih terpalit persepsi lama. Dalam keadaan ini, UMNO terpaksa bergantung kepada pakatan, sama ada terus kekal bersama Pakatan Harapan (PH) atau menimbang semula hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).
Namun, kedua-dua pilihan ini datang dengan harga politik yang tinggi. Bersama PH memberi ruang kepada UMNO untuk kekal dalam kerajaan dan mempengaruhi dasar, namun pada masa sama berdepan cabaran persepsi dalam kalangan penyokong tradisi.
Sementara bekerjasama dengan PN pula mungkin lebih dekat dari segi sentimen pengundi Melayu tetapi membawa risiko pertembungan kepentingan dan perebutan ruang politik yang sengit.
Apa jua pilihan, UMNO perlu merangka strategi jangka panjang yang jelas dan konsisten.
PENAPIS POLITIK
Pun begitu, satu perkara menarik, yang mungkin dinafikan sesetengah pihak adalah kedudukan UMNO dalam kerajaan hari ini menjadi realiti politik yang tidak boleh diketepikan.
Sebagaimana diberitahu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia, baru-baru ini yang mana kedudukan ini memberi ruang kepada parti untuk menjadi faktor penentu dalam beberapa keputusan dasar. Ini termasuk bertindak sebagai pengimbang kepada tuntutan-tuntutan tertentu daripada rakan gabungan, khususnya DAP, yang kadangkala dilihat bercanggah dengan sensitiviti Perlembagaan dan asas-asas kontrak sosial negara.
Dalam erti kata lain, UMNO masih memegang peranan sebagai ‘penapis politik’. UMNO memainkan peranan dalam memastikan dasar kerajaan tidak terpesong daripada kerangka Perlembagaan yang telah lama menjadi asas kestabilan negara.
Namun peranan ini hanya bermakna jika UMNO benar-benar berani menggunakan kedudukannya secara berprinsip, bukan sekadar sebagai pelengkap kuasa.
Pun begitu, kepimpinan UMNO tidak boleh sekadar berbangga dengan peranan itu. Parti ini tidak boleh terus bermain politik selamat atau menunggu peluang sebaliknya perlu membuat keputusan yang tegas, walaupun pahit. Lebih penting, keputusan itu mesti berasaskan hala tuju jangka panjang.
Dalam masa sama, landskap semasa memperlihatkan semakin banyak isu sensitif berkaitan Melayu, Islam dan institusi diraja menjadi perbahasan terbuka. Ada perkara yang dahulu dianggap sensitif kini dipersoalkan secara terbuka. Ada juga yang melihat seolah-olah wujud kecenderungan untuk menguji had-had yang sebelum ini dihormati.
Dalam keadaan ini, UMNO tidak boleh hanya menjadi pemerhati. Jika parti ini masih mahu relevan sebagai suara utama Melayu, maka, tampillah dengan pendirian jelas dan konsisten, janganlah sekadar reaksi bermusim atau beremosi.

PERLU BERANI, IKHLAS
Dalam konteks ini, Gagasan Rumah Bangsa harus dan perlu dilaksanakan jika mahu mengembalikan kekuatan Melayu. Parti ini perlu memimpin usaha menyatukan kembali kekuatan politik Melayu yang berpecah. Ini kerana perpecahan yang berlarutan hanya menguntungkan pihak lain.
Namun, usaha ini memerlukan keikhlasan politik. UMNO tidak boleh lagi melihat dirinya sebagai satu-satunya pusat kuasa. Sebaliknya, parti ini perlu bersedia berkongsi ruang, berunding secara matang dan membina kesepakatan yang realistik. Rumah bangsa hanya akan berjaya jika dibina atas asas kepercayaan, bukan dominasi.
Lebih kritikal, UMNO perlu melakukan reformasi dalaman yang sebenar. Parti ini perlu berani membersihkan imej, memperkukuh integriti dan membuka ruang kepimpinan baharu yang lebih segar dan berwibawa. Selagi UMNO gagal melakukan perubahan ini, selagi itu parti akan terus dibayangi persepsi lama yang sukar dipadam.
Disiplin dalaman juga perlu diperketat. Pertelingkahan terbuka, percanggahan kenyataan dan permainan kuasa hanya akan melemahkan lagi parti di mata rakyat. UMNO tidak kekurangan pemimpin tetapi kekurangan kesatuan dalam hala tuju.
Ulang tahun ke-80 ini bukan sekadar sambutan tetapi ujian terakhir, sama ada parti ini benar-benar mahu bangkit atau terus hanyut dalam nostalgia.
UMNO perlu jujur melihat kelemahan sendiri dan berani melakukan perubahan yang sukar. Jika parti ini terus bergantung kepada formula lama, berisiko terus ditolak.
UMNO perlu sedar kekuatan tidak akan kembali dengan sendiri, sebaliknya mesti dibina semula melalui keberanian, kejujuran dan kesanggupan berubah.
Jika masih kekal dengan cara lama, parti ini hanya akan menjadi bayang kepada sejarahnya. Namun jika berani membuat perubahan besar dan merangka strategi baharu berteraskan kepentingan jangka panjang, kebangkitan semula masih tidak mustahil.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










