DUBAI: Syarikat perkapalan dan logistik Denmark, Maersk, memaklumkan satu daripada kapal komersialnya melalui Selat Hormuz di bawah perlindungan tentera Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu kenyataan semalam, syarikat itu memaklumkan kapal ALLIANCE FAIRFAX, sebuah kapal roll-on/roll-off berbendera AS yang dikendalikan oleh Farrell Lines, melalui Selat Hormuz dan keluar dari Teluk Parsi pada Isnin.
Syarikat itu berkata, kapal berkenaan berada di Teluk sejak bermulanya perang AS-Israel terhadap Iran pada 28 Februari, dan tidak berlepas berikutan kebimbangan keselamatan yang berterusan.
“Susulan pembangunan dan penyelarasan pelan keselamatan menyeluruh dengan tentera AS, kepimpinan operasi darat dan kapal MLL meluluskan perjalanan tersebut,” menurut kenyataan itu, sambil menambah kapal berkenaan keluar dari Teluk diiringi aset tentera AS.
Ketegangan serantau semakin memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, sekali gus mencetuskan tindakan balas dari Teheran terhadap Israel, serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Gencatan itu kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden AS, Donald Trump, tanpa menetapkan tempoh akhir.- ANADOLU










