Iran nafi serang kemudahan minyak UAE - Utusan Malaysia

Iran nafi serang kemudahan minyak UAE

KEBAKARAN berlaku didakwa akibat serangan Iran di loji minyak Fujairah awal Mac lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran tidak mempunyai rancangan yang dirancang lebih awal untuk menyerang kemudahan minyak di Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut televisyen negara itu pada Isnin.

Kenyataan itu dibuat selepas UAE menuduh republik Islam itu melancarkan serangan dron ke atas sebuah fasiliti tenaga di Fujairah.

Pihak berkuasa di Fujairah berkata, serangan tersebut mencederakan tiga warga India yang kemudian dibawa ke hospital. 

UAE pula mendakwa ia menjadi sasaran serangan baharu Iran ketika gencatan senjata masih berkuat kuasa dalam perang di Asia Barat.

“Republik Islam tidak mempunyai rancangan awal untuk menyerang kemudahan minyak itu dan apa yang berlaku adalah hasil tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang mencetuskan provokasi bagi mewujudkan laluan untuk kapal-kapal melalui secara haram di kawasan larangan Selat Hormuz. 

“Tentera AS mesti dipertanggungjawabkan berhubung perkara itu,” kata seorang pegawai tentera Iran kepada televisyen Iran.

“Pegawai AS mesti menghentikan tindakan buruk menggunakan kekerasan dalam proses diplomatik dan menghentikan pengembaraan ketenteraan di rantau minyak sensitif ini yang memberi kesan kepada ekonomi semua negara di dunia,” tambahnya.

Presiden AS, Donald Trump, pada Ahad mengumumkan rancangan untuk mengiringi kapal dari negara berkecuali keluar dari Teluk dengan berkata, ia merupakan usaha kemanusiaan bagi membantu kru kapal yang terkandas.

Tentera laut Iran melepaskan tembakan amaran ke arah kapal perang AS di Selat Hormuz pada Isnin, menurut media negara tersebut selepas tentera Amerika menghantar kapal pemusnah ke Teluk. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×