Milolo tampil 12 sen sesaham di Pasaran LEAP

Milolo tampil 12 sen sesaham di Pasaran LEAP

MILLAN Lee (dua dari kiri) selepas semasa gimik paluan gong sempena Majlis Penyenaraian Milolo di Pasaran Leap Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Milolo Berhad (Milolo) membuat penampilan sulung di Pasaran LEAP, Bursa Malaysia pada harga 12 sen sesaham, mewakili premium 20 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 10 sen sesaham.

Pengarah Urusannya, Datuk Millan Lee berkata, penyenaraian itu berlaku ketika industri ‘pop toy’ berkembang pesat dengan potensi pasaran yang luas.

Katanya, syarikat berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap ‘pop toy’ di dalam dan luar negara, disokong oleh pengembangan rangkaian runcit serta portfolio harta intelek (IP) milik sendiri, selain akses kepada pasaran modal.

“Hari ini merupakan detik penting bagi Milolo apabila kami memulakan perjalanan di Bursa Malaysia dan melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya sebagai sebuah syarikat tersenarai.

“Selain meningkatkan profil dan keterlihatan syarikat, penyenaraian di Pasaran LEAP juga menjadi langkah strategik ke arah penyenaraian di pasaran lebih tinggi Bursa Securities seperti Pasaran ACE dan seterusnya Pasaran Utama,” katanya pada majlis penyenaraian syarikat itu di sini, semalam.

Beliau berkata, Milolo menyasarkan pengembangan perniagaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ke beberapa pasaran serantau termasuk Thailand, Indonesia, Singapura dan China.

“Perancangan ini bergantung kepada faktor peraturan dan budaya setiap negara yang perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pengembangan ini dijangka dilaksanakan melalui gabungan pendekatan kerjasama strategik serta pengurusan secara langsung oleh Milolo,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat turut merancang memperluaskan kehadiran dalam pasaran domestik dengan pembukaan tiga cawangan runcit baharu dalam dua hingga tiga tahun akan datang 

“Cawangan pertama akan dibuka di Ombak KLCC diikuti Seremban dan seterusnya berkemungkinan di Sunway Velocity Mall.

“Pada tahun hadapan, kami merancang memperluaskan operasi ke negeri-negeri seperti Pulau Pinang dan Johor serta kawasan Pantai Timur,” katanya.

Milolo kini mempunyai kehadiran runcit yang semakin berkembang di pusat beli-belah utama di Malaysia termasuk 1 Utama Shopping Centre, Pavilion Bukit Jalil, Mid Valley Megamall dan Sunway Pyramid. 

Secara keseluruhan, Milolo memiliki 10 cawangan runcit di seluruh Semenanjung Malaysia setakat ini. 

DWA Advisory Sdn. Bhd. dilantik sebagai Penasihat Diluluskan dan Penasihat Berterusan bagi penyenaraian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×