ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) menjanjikan harga lantai belian padi kepada RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, janji itu mampu dilaksanakan kerana harga semasa ketika ini iaitu RM1,500 per tan metrik tidak banyak berbeza dengan tuntutan dimahukan para pesawah.
Beliau berkata, penetapan harga yang lebih stabil akan berupaya memperhebat aktiviti penanaman padi menjadi semakin produktif disamping bantuan lain kepada petani.
“Jadi RM3,000 (per tan metrik) kami boleh bagi akujanji dalam manifesto PRU nanti pun dan insyaAllah kita akan laksanakan harga lantai padi RM3,000. Itu adalah satu janji yang kami berikan yang insyaAllah akan dapat dilaksanakan,” katanya berucap pada Himpunan Aman Pesawah di Kampung Alor Setoi, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob menuntut harga lantai padi dinaikkan kepada RM3,000 per tan metrik yang amat perlu bagi membolehkan pesawah memperoleh margin keuntungan munasabah untuk kelangsungan hidup.
Tambah Takiyuddin, meskipun PN kini tidak bergelar kerajaan, pengalaman mentadbir negara selama dua tahun pada 2020 dan 2021 membolehkan gabungan itu dapat meringankan bebanan ditanggung rakyat khususnya pesawah.
Katanya, ketika itu PN diuji dengan pandemik Covid-19 sehingga ada pihak yang menyatakan kerajaan tidak akan mampu bertahan lama termasuk meramalkan negara bakal bankrap selepas tiga bulan.
“Tetapi ketahuilah kerajaan PN yang ditubuhkan pada masa itu telah membelanjakan RM530 bilion melalui pelbagai pakej rangsangan untuk membantu rakyat dari segi kesihatan, ekonomi dan kos sara hidup bagi memastikan rakyat ada makanan di atas meja.
“Oleh itu kita yakin tiada alasan untuk kerajaan hari ini yang menyatakan bahawa tak ada duit untuk memberikan subsidi diesel kepada rakyat terutamanya kepada petani yang jentera guna diesel dan memerlukan bantuan kerajaan. Kalau tak tolong buat apa jadi kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Takiyuddin memaklumkan, himpunan bangkit rakyat termasuk membawa suara petani akan diadakan kembali dalam beberapa siri antaranya di Pejabat Perdana Menteri dan bangunan Parlimen.
“Kalau secara aman tak ada orang akan dengar kita, kalau kita buat secara aman kita kena bangkit dulu. Selepas itu kalau nak buat himpunan ganas pun buat lah, saya tahu ada special branch tapi saya bertanggungjawab.
“Jangan main-main dengan rakyat, dengan pegawai dan anggota kerajaan boleh main-main tapi dengan rakyat, sekali rakyat bangkit di Sri Lanka Perdana Menteri dihumban ke sungai,” katanya. – UTUSAN










