Nostalgia silam tidak mencetak undi masa depan - Wanita UMNO 

Nostalgia silam tidak mencetak undi masa depan – Wanita UMNO 

NORAINI Ahmad berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menolak politik ekstrem sebaliknya memilih pendekatan sederhana sebagai asas perjuangan bagi mendepani landskap politik semasa yang semakin mencabar.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, realiti politik hari ini menuntut parti  bergerak ke hadapan dan tidak lagi bergantung kepada nostalgia sejarah semata-mata.

“Tetapi nostalgia silam tidak mencetak undi untuk masa depan. Pengundi hari ini menilai berdasarkan apa yang boleh kita tawarkan untuk masa hadapan mereka,” katanya berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Noraini yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, landskap politik semasa semakin dipengaruhi arus ekstrem sama ada terlalu keras atau terlalu longgar sehingga mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

“UMNO tidak pernah terbina di atas landasan ekstrem. Kekuatan sebenar kita berpaksi kepada kesederhanaan.

“Kita memilih rundingan, bukan pertembungan, perpaduan, bukan perpecahan, jalan tengah yang menyatukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggariskan tiga tekad utama Wanita UMNO bagi memperkukuh peranan mereka, termasuk memperkasa kepimpinan wanita, menawan sokongan golongan wanita serta menguasai naratif digital.

Beliau berkata, wanita kini bukan lagi sekadar jentera sokongan, sebaliknya terdiri daripada golongan profesional, pemikir dan pemimpin yang mampu mencorakkan masa depan parti.

“Wanita UMNO perlu menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat dan menguasai dunia digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×