Pas Johor sedia terima parti Hamzah, tunggu keputusan PN pusat - Utusan Malaysia

Pas Johor sedia terima parti Hamzah, tunggu keputusan PN pusat

Mahfodz Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas Johor tidak bermasalah untuk mengadakan kerjasama politik termasuk melibatkan pembahagian kerusi bersama parti baharu pimpinan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pilihan raya akan datang.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed bagaimanapun berkata, sebarang kerjasama perlulah diterima dan diputuskan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat terlebih dahulu.

“Sama ada parti baharu Datuk Seri Hamzah diterima (sertai PN) atau tidak, itu akan diputuskan kepimpinan PN pusat. Pas Johor akan ikut keputusan yang diambil berhubung perkara itu.

“Sekiranya diterima, kita akan bekerjasama dengan mereka sama juga seperti parti-parti komponen lain dalam PN. Ini termasuklah melibatkan mana-mana individu yang diterima,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, penganalisis politik, Dr. Iskandar Hassan Tan Abdullah dilaporkan berkata adalah tidak wajar untuk PN menerima kemasukan parti baharu yang dipimpin bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Menurut beliau, kemasukan Hamzah dan penyokongnya dibimbangi akan menimbulkan ketidakstabilan antara hubungan Pas dan Bersatu khususnya menjelang beberapa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Situasi ini boleh membawa kepada perpecahan undi dalam kalangan penyokong PN yang akhirnya menjejaskan peluang gabungan itu dalam PRU16.

“Jika tidak ditangani dengan cermat, PAS berdepan risiko dilabel ‘main dua kolam’, terutama sekiranya parti Hamzah diterima masuk ke dalam PN,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×