KUALA LUMPUR: Semua agensi berkaitan diberikan tempoh masa dua minggu untuk mengemukakan laporan pelaksanaan bagi setiap inisiatif pekerja yang diumumkan Perdana Menteri semalam.
Laporan itu perlu diserahkan kepada menteri terlibat sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa tiga minggu lagi.
Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak mahu kerajaan mengulangi amalan lampau iaitu selepas sesuatu pengumuman dibuat, tindakan pula mengambil masa lama iaitu enam bulan malah sehingga setahun atau lebih.
“Pengumuman dibuat hari ini, dalam tempoh dua minggu laporan sampai ke meja menteri dan laporan tindakan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu.
“Jika tidak, baik Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), HRD Corp, TalentCorp dan lain-lain agensi dipanggil naik ke pentas untuk jawab soalan, bersama Menterinya (Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R.) Ramanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil di sini semalam.
Majlis sambutan itu telah dihadiri kira-kira 15,000 warga kerja daripada sektor awam dan swasta dari seluruh negara.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Tempoh dua minggu diberikan oleh Perdana Menteri itu merujuk kepada pelaksanaan tiga inisiatif utama yang diumumkan hari ini termasuk pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) bagi pekerja wanita yang merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari yang diambil selepas tempoh cuti bersalin 98 hari tamat.
EPCB itu akan diperkenalkan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerja 2017 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita di seluruh negara.
Anwar berkata, berdasarkan data Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB), golongan wanita menunjukkan trend pengunduran kerjaya yang kritikal iaitu sehingga 78.9 peratus bagi dua kategori umur.
“Faedah ini dicadangkan (dibayar) pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita yang akan dibayar secara one-off,” katanya.
Turut diumumkan, pakej daya tahan ekonomi melibatkan dana bernilai lebih RM710 juta sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh negara.
la merangkumi dana RM580 juta oleh Perkeso bagi membantu pekerja kehilangan pekerjaan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan peruntukan RM100 juta di bawah HRD Yakin Madani untuk latihan dan penempatan kerja.
Selain itu, RM20 juta disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) bagi latihan pekerja gig dan RM10 juta menerusi TalentCorp bagi Geran Padanan Latihan Industri untuk menyokong PMKS.
Inisiatif ketiga adalah pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi memperluas perlindungan menerusi Perkeso kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Inisiatif dijangka memberi manfaat kepada lebih 480,000 pekerja Malaysia di luar negara.-UTUSAN.











