Kualiti hubungan majikan-pekerja penentu kekuatan ekonomi negara

Kualiti hubungan majikan-pekerja penentu kekuatan ekonomi negara

Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekuatan sebenar ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada dasar, sebaliknya turut ditentukan oleh kualiti hubungan antara majikan dan pekerja.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, pekerja bukan sekadar tenaga buruh, sebaliknya aset strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan organisasi dan negara.

Menurut beliau, sikap memandang rendah, komunikasi yang lemah serta kegagalan menghargai sumbangan pekerja hanya akan melemahkan produktiviti dan kesetiaan tenaga kerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, beliau berkata, dalam usaha memperkasa kebajikan serta perlindungan golongan pekerja di Malaysia, bukan majikan sahaja yang perlu memainkan peranan, sebaliknya pekerja juga perlu menunjukkan sikap terpuji terhadap majikan.

“Budaya kerja sambil lewa, kurang disiplin, tidak amanah dan gemar menyalahkan pihak lain antara faktor yang menjejaskan kepercayaan serta prestasi organisasi.

“Realitinya, kedua-dua pihak mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Rizan berkata, hubungan antara majikan dan pekerja bukan sekadar hubungan kontrak, sebaliknya satu perkongsian tanggungjawab dalam membina ekonomi negara.

Katanya, tanpa kepercayaan, rasa hormat dan disiplin bersama, tiada dasar atau insentif yang mampu menjamin kemakmuran jangka panjang.

“Jalan ke hadapan memerlukan sikap kebertanggungjawaban serta semangat nasionalisme yang tinggi daripada kedua-dua pihak.

“Majikan perlu adil dan menghargai, manakala pekerja pula perlu berintegriti dan berdisiplin,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini