WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sedang melancarkan satu gabungan antarabangsa untuk memulakan semula perkapalan di Selat Hormuz, kata seorang pegawai pada Khamis, ketika laluan perairan penting itu masih sebahagian besarnya terputus akibat rundingan yang tergendala dengan Iran.
“Gabungan Kebebasan Maritim (MFC) akan mengambil langkah untuk memastikan laluan selamat, termasuk menyediakan maklumat masa nyata, panduan keselamatan dan penyelarasan bagi memastikan kapal dapat melalui perairan ini dengan selamat,” kata seorang pegawai Jabatan Pertahanan AS kepada AFP.
Pegawai itu, yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan menjawab pertanyaan mengenai kabel diplomatik yang dilaporkan meminta kedutaan AS mendesak kerajaan-kerajaan asing supaya menyertai usaha tersebut.
Akhbar The Wall Street Journal melaporkan bahawa MFC akan menjadi usaha bersama antara Jabatan Negara AS dan Markas Pusat Amerika (CENTCOM), yang menyelia pasukan tentera Amerika di Asia Barat, menurut kabel tersebut.
“Komponen yang diketuai Jabatan Negara, berpangkalan di Washington DC akan berfungsi sebagai hab operasi diplomatik, menyatukan rakan-rakan dan industri perkapalan komersial,” kata pegawai itu kepada AFP.
Iran bertindak balas terhadap serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Februari dengan mengancam kapal yang melalui Selat Hormuz, menyebabkan trafik di laluan sempit itu hampir terhenti sepenuhnya dan mendorong harga bahan api global melonjak tinggi.
Walaupun terdapat gencatan senjata antara Amerika dan Iran, perkapalan melalui selat itu masih terhenti secara efektif tanpa sebarang tanda penyelesaian segera.
Usaha menamatkan perang turut tergendala, dengan pihak Iran dilaporkan minggu ini mencadangkan untuk melonggarkan kawalannya ke atas selat itu sebagai pertukaran kepada Washington menarik balik sekatan balasnya sementara rundingan lebih luas diteruskan.
Presiden Donald Trump telah mengkritik sekutu-sekutunya sejak melancarkan perang itu kerana keberatan mereka untuk terlibat dalam konflik dengan Iran dan pada beberapa ketika menggesa negara-negara yang bergantung kepada minyak supaya mengambil tanggungjawab membuka semula Selat Hormuz.
Namun, kabel tersebut menyatakan bahawa tindakan kolektif adalah penting untuk menunjukkan pendirian bersatu dan mengenakan kos bermakna terhadap halangan Iran terhadap transit melalui Selat Hormuz, menurut laporan Wall Street Journal.
“Penyertaan anda akan mengukuhkan kemampuan kolektif kita untuk memulihkan kebebasan pelayaran dan melindungi ekonomi global,” menurut kabel itu, yang menggambarkan MFC sebagai inisiatif diketuai AS.
Sementara itu, Britain dan Perancis pula mengetuai rundingan mengenai usaha maritim berasingan dan baru-baru ini mengadakan mesyuarat melibatkan lebih 50 negara mengenai isu tersebut. – AFP










