PETALING JAYA: Skuad badminton lelaki negara tidak lagi mempunyai ruang bereksperimen menjelang aksi suku akhir Piala Thomas 2026, sebaliknya perlu tampil dengan kombinasi terbaik bagi memastikan kemaraan ke peringkat seterusnya.
Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, tempoh uji kaji terutama melibatkan ‘scratch pairs’ sudah mencukupi sepanjang saingan peringkat kumpulan dan kini fokus perlu diberikan kepada kekuatan sebenar pasukan.
“Dah cukuplah kita ‘testing’. Sekarang bukan masa untuk cuba-cuba pasangan lagi. Kita kena letakkan pemain terbaik, khususnya dalam beregu sebab di situlah kekuatan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malaysia sebelum ini menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua selepas tewas tipis 3-2 kepada Jepun dalam aksi terakhir kumpulan B yang menyaksikan percaturan ‘scratch pair’ atau pemecahan pasangan beregu.
Razif berpandangan, pendekatan itu tidak wajar diteruskan dalam aksi kalah mati kerana risiko kehilangan mata terlalu besar.
“Kalau beregu kita kalah satu, habislah. Kita tak boleh ambil risiko itu. Kita mesti menang dua mata daripada beregu. Jadi pasangan asal perlu dikembalikan untuk beri keyakinan,” jelasnya.
Beliau turut menamakan beberapa kombinasi yang dianggap mantap termasuk gandingan utama negara yang sudah terbukti sebelum ini.
Dalam pada itu, Razif mengakui persembahan pemain perseorangan lelaki, khususnya pemain muda masih belum mencapai tahap terbaik, sekali gus menyaksikan kebergantungan kepada aksi konsisten Lee Zii Jia.
“Zii Jia tak boleh terus jadi perseorangan pertama. Ia bergantung kepada ranking. Kita kena ikut aturan dari pemain nombor satu, dua, tiga, baru dia. Itu tak boleh diubah.
“Kita dah nampak kemampuan, cuma sekarang kena fokus, kurangkan kesilapan dan gunakan kekuatan sebenar. Itu kunci untuk ke separuh akhir,” ujarnya. – UTUSAN










