PETALING JAYA: Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor secara serentak tidak akan membawa kepada penjimatan kos, seperti didakwa sesetengah pihak.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, penjimatan hanya akan berlaku sekiranya pilihan raya kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan serentak seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, anggaran kos bagi pelaksanaan kedua-dua PRN itu adalah RM115 juta.
Katanya, jumlah berkenaan melibatkan elaun petugas, keperluan pilihan raya seperti kertas undi, kos logistik dan sebagainya.
“Penjimatan hanya akan berlaku sekiranya pilihan raya Parlimen dan DUN diadakan secara serentak.
“Jika dua pilihan raya negeri diadakan serentak, tidak ada penjimatan. Anggaran kos RM115 juta itu dibuat sebelum situasi konflik di Asia Barat, namun kita sudah ambil kira sebarang kemungkinan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada 27 Disember ini manakala DUN Johor pada 21 April 2027. Ini meletakkan kedua-dua negeri dalam garis masa hampir untuk PRN.
Ia berdasarkan tarikh persidangan penggal pertama DUN selepas pilihan raya terdahulu iaitu 27 Disember 2021 bagi Melaka dan 21 April 2022 bagi Johor, selaras dengan tempoh maksimum lima tahun.
SPR mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihan raya selepas pembubaran menjadikan PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Februari 2027 dan Johor pada Jun 2027.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, anggaran kos berkenaan disifatkan tinggi ketika konflik ekonomi global, namun pelaksanaan pilihan raya tetap penting kerana berkait rapat dengan suara demokrasi dan masa depan negara.
Katanya, cadangan untuk mengadakan kedua-dua PRN secara serentak boleh dipertimbangkan, namun keadaan ekonomi semasa termasuk kenaikan harga minyak dan kos sara hidup berkemungkinan menyebabkan kos sebenar menjadi lebih tinggi.
“Keadaan ini menuntut penilaian berdasarkan situasi semasa kerana negara berdepan dilema antara keperluan menegakkan demokrasi dan kekangan kewangan dalam suasana ekonomi tidak menentu.
“Bagaimanapun, pilihan raya tetap perlu dilaksanakan bagi memastikan keabsahan undang-undang walaupun ia mungkin mengundang kritikan dalam kalangan pihak tertentu,” katanya.
Katanya, sekiranya terdapat alternatif bagi menjimatkan kos, perkara itu perlu diperjelaskan oleh SPR memandangkan badan tersebut bertanggungjawab dalam pelaksanaan pilihan raya.
Jelasnya, kos yang tinggi menjadi cabaran ketika negara memerlukan perbelanjaan untuk keperluan lain, namun pilihan raya tetap perlu diadakan sebagai asas kepada sistem demokrasi. – UTUSAN










