Kos perang Iran hampir AS$50 bilion - Utusan Malaysia

Kos perang Iran hampir AS$50 bilion

PERANG Iran yang dimulakan AS-Israel melibatkan kos sehingga RM198 bilion sejak 28 Februari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Anggaran kos sebenar perang Iran yang dibelanja Amerika Syarikat (AS) dalam perang Iran mungkin mencecah antara AS$40 bilion (RM158 bilion) hingga AS$50 bilion (RM198 bilion).

Menurut sumber kepada CNN, ia jauh lebih tinggi daripada angka rasmi AS$25 bilion (RM99 bilion) yang diumumkan oleh pegawai kanan Jabatan Pertahanan atau lebih dikenali sebagai Pentagon kepada wakil-wakil rakyat AS pada Rabu.

Angka RM99 bilion itu tidak termasuk kos membaiki kerosakan besar yang dialami beberapa pangkalan tentera AS di rantau tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sumber itu memberitahu, anggaran sebenar meningkat apabila mengambil kira kos pembinaan semula kemudahan tentera dan penggantian aset yang musnah.

Serangan Iran di rantau Teluk pada hari-hari awal konflik dilaporkan merosakkan sekurang-kurangnya sembilan lokasi tentera AS dalam tempoh 48 jam, termasuk di Bahrain, Kuwait, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

MENYAMAI MISI NASA

Beberapa sistem radar kritikal serta peralatan lain di Asia Barat turut dilaporkan musnah, termasuk sistem radar bagi peluru berpandu THAAD di Jordan dan kemudahan radar di dua lokasi di UAE.

Sebuah pesawat amaran awal Tentera Udara AS jenis E-3 Sentry turut musnah dalam serangan Iran ke atas pangkalan udara di Arab Saudi.

Pegawai itu  yang kini berkhidmat sebagai pengawal kewangan Pentagon, Jules Hurst III memaklumkan kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Tentera Dewan Perwakilan, sebahagian besar daripada kos RM99 bilion itu dibelanjakan untuk bekalan senjata.

Namun, beliau tidak memberikan pecahan terperinci atau menjelaskan sama ada anggaran itu merangkumi kos jangka panjang seperti pembinaan semula infrastruktur ketenteraan yang rosak di Asia Barat. 

Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth juga enggan mengesahkan sama ada angka tersebut merangkumi kos membaiki kerosakan pangkalan tentera AS.

Ahli Kongres Parti Demokrat, Ro Khanna mempersoalkan angka tersebut, menyifatkannya sebagai tidak tepat sama sekali.

Sebelum ini, Pentagon memaklumkan kepada Kongres perang itu menelan kos kira-kira AS$11 bilion (RM43.7 bilion) dalam tempoh enam hari pertama sahaja dan jabatan itu turut meminta kelulusan tambahan lebih AS$200 bilion (RM794.7 bilion) bagi pembiayaan ketenteraan berkaitan konflik berkenaan.

Ahli Kongres Demokrat, Adam Smith berkata, wakil rakyat AS  telah lama menuntut penjelasan mengenai kos sebenar perang itu dan  menyatakan jumlah RM99 bilion hampir menyamai bajet tahunan agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA). 

Kos perang itu kini menjadi isu politik yang semakin hangat di Washington, terutama menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

IMPAK KOS SARA HIDUP

Parti Demokrat cuba mengaitkan konflik tersebut dengan peningkatan kos sara hidup, apabila gangguan bekalan minyak dan gas global menyebabkan harga bahan api meningkat serta menyumbang kepada inflasi.

Harga petrol di AS dilaporkan mencecah paras tertinggi dalam hampir empat tahun dan menambah tekanan kepada rakyat.

Sokongan terhadap Presiden AS,  Donald Trump juga merudum susulan konflik itu, dengan tinjauan Reuters/Ipsos menunjukkan hanya 34 peratus rakyat negara tersebut menyokong perang berkenaan, turun daripada 38 peratus pada Mac.

Hegseth turut mempertahankan usaha perang tersebut dengan menyatakan perbelanjaan itu wajar bagi menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.

“Apa nilai yang sanggup dibayar untuk memastikan Iran tidak memiliki bom nuklear?” katanya kepada, sambil menolak kritikan Demokrat, lapor Politics Today.

Konflik itu bermula pada 28 Februari selepas serangan AS ke atas Iran dan merebak ke negara Teluk hingga turut mengheret Lubnan selepas Hizbollah menyerang Israel pada 2 Mac. Serangan itu dilakukan untuk membalas dendam kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Trump kemudian mengumumkan gencatan senjata rapuh selama dua minggu bermula pada 8 April dan kemudian melanjutkannya bagi memberi lebih masa untuk rundingan, hanya beberapa jam sebelum permusuhan dijangka bersambung semula.

Gencatan senjata baru itu dilanjutkan tanpa had dan menyatakan ia dibuat atas permintaan Pakistan sebagai pengantara serta menekankan keperluan memberi masa kepada kepimpinan Iran yang ‘berpecah’ untuk merangka cadangan. 

Beliau bagaimanapun berikrar untuk mengekalkan sekatan ke atas pelabuhan Teheran.

Pentagon telah meningkatkan kehadiran anggota tenteranya di rantau itu, termasuk mengerahkan tiga kapal pengangkut pesawat.

Setakat ini, 13 anggota tentera AS terkorban dan ratusan lagi cedera dalam perang itu manakala lebih 3,000 orang terbunuh di Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini