PETALING JAYA: Hati seorang ibu yang merelakan insan tersayang untuk berkhidmat mempertahankan negara, remuk selepas anaknya parah dipercayai dipukul rakan setugas.
Menurut Josmah Duim, 54, dia terlalu sedih selepas anaknya, Truper Abdul Hamid Mutalib, 25, cedera dan tidak sedarkan diri dipercayai dipukul rakan setugas dan bukannya ketika bertempur.
“Anak saya terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami cedera parah retak tempurung kepala selepas insiden yang berlaku pada 11 Mac lalu.
“Saya macam tidak percaya apabila mendapat berita dan melihat keadaan anak saya ketika saya tiba di hospital. Kami sempat bertanya khabar menerusi panggilan video lewat petang sebelum dia dipercayai dipukul.
“Pada masa itu, dia ceria. Dia kemudian minta kebenaran saya untuk matikan panggilan sebab mahu menunaikan solat tarawih. Sehari selepas itu, saya dapat panggilan telefon anak dimasukkan ke hospital selepas cedera akibat terjatuh,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Abdul Hamid lulus kursus asas komando Grup Gerak Khas (GGK) pada 1 September tahun lalu, kemudian ditempatkan di Rejimen 22 Komando Kem Sri Iskandar, Mersing, Johor.
Sementara itu, Peguam, N. Surendran berkata, mangsa masih tidak sedarkan diri serta bergantung sepenuhnya kepada tiub untuk bantuan pernafasan dan nutrisi.
“Sehingga kini dia tidak sedar, tidak boleh bercakap dan hanya bergantung kepada tiub untuk hidup. Keadaan mangsa yang sebelum ini sihat kini berdepan risiko kecacatan kekal,” katanya.
Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih tidak jelas apabila terdapat maklumat awal menyatakan mangsa terjatuh, namun saksi mendakwa kecederaan berlaku selepas hukuman dikenakan.
“Difahamkan hukuman itu bukan atas kesalahan mangsa sebaliknya sebagai pengajaran kepada individu lain,” dakwanya.
Tambahnya, kecederaan serius itu menyebabkan sebahagian tengkorak mangsa terpaksa dikeluarkan.
Menurutnya, laporan polis sebelum ini telah dibuat oleh abang mangsa pada 14 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, Johor namun sehingga kini tiada perkembangan siasatan atau kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau menuntut Ketua Polis Negara menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes tersebut. – UTUSAN










