Wanita ditahan bunuh bayi 8 bulan guna alat kawalan jauh

Wanita ditahan bunuh bayi 8 bulan guna alat kawalan jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan menangkap seorang wanita berusia 30-an kerana disyaki membunuh anak lelakinya yang berusia lapan bulan.

Polis Wilayah Gyeonggi Nambu berkata, wanita terbabit sedang disiasat atas tuduhan penderaan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian.

Polis memaklumkan, suspek mengaku berulang kali memukul kepala bayi tersebut menggunakan alat kawalan jauh televisyen pada 10 April lalu.

Doktor mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius di kepala, termasuk keretakan pada tengkorak, dan mencadangkan mangsa dimasukkan ke hospital.

Namun, suspek dilaporkan enggan menerima cadangan itu dan bertegas mahu membawa pulang anaknya.

Pada 13 April, suspek membawa semula bayi tersebut ke hospital sama selepas mendapati anaknya tidak sedarkan diri di rumah. Kanak-kanak itu meninggal dunia keesokan harinya.

Siasatan turut menemukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah yang menunjukkan ibu bapa kanak-kanak itu beberapa kali meninggalkan bayi mereka bersendirian selama beberapa jam dalam kejadian berasingan.

Pada awalnya, suspek memberitahu polis anaknya cedera akibat terjatuh semasa mandi, namun kemudian mengaku melakukan penderaan ketika sesi soal siasat. Polis kemudian meletakkannya di bawah tahanan kecemasan.

Bedah siasat awal oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan turut mendapati kanak-kanak tersebut meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Ketika disoal siasat, wanita itu berkata dia mendera anaknya kerana bayi tersebut tidak mahu tidur dan sering menangis.

Polis turut menyoal siasat bapa kanak-kanak itu sebagai saksi bagi menentukan sama ada dia terlibat atau membenarkan penderaan tersebut berlaku.

Pihak berkuasa berkata, mereka merancang untuk memohon waran tangkap pada hari sama bagi menahan ibu berkenaan secara rasmi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×