TEHERAN: Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf mendakwa, sekatan tentera laut Amerika Syarikat (AS) bertujuan memecahbelahkan Iran dan melemahkan negara itu dari dalam.
Dalam kenyataan yang disiarkan televisyen negara pada Rabu, Ghalibaf yang kini muncul sebagai tokoh utama sejak tercetusnya konflik Asia Barat berkata, Presiden Donald Trump cuba ‘membahagikan negara kepada dua kem, iaitu golongan tegar dan sederhana’ sebelum menggunakan tekanan ekonomi serta sekatan tentera laut untuk memaksa Iran tunduk.
Beliau mendakwa, strategi itu bertujuan mencetuskan perpecahan dalaman di Iran.
Ketegangan berlaku ketika beberapa pemimpin Iran dilaporkan terbunuh dalam serangan AS dan Israel, termasuk Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai perubahan keseimbangan kuasa dalam negara itu.
Trump sebelum ini mendakwa, kerajaan Iran semakin berpecah, walaupun tidak mengejutkan.
Ghalibaf, seorang tokoh berpengaruh, semakin menonjol sejak bermulanya perang dan pernah mengetuai rundingan dalam satu-satunya pusingan perbincangan langsung antara AS-Iran setakat ini.
Beliau berkata, musuh kini memasuki fasa baharu dengan cuba mengaktifkan tekanan ekonomi dan perpecahan dalaman melalui sekatan tentera laut serta kempen media, dengan tujuan melemahkan atau meruntuhkan negara dari dalam.
Ghalibaf turut menyeru agar perpaduan dikekalkan sebagai satu-satunya jalan penyelesaian.
Sementara itu, AS dilaporkan mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sebagai tindak balas terhadap tindakan Teheran menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan penting bagi minyak dan gas dunia.- AFP









