WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata bahawa sekatan laut Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran boleh berlanjutan selama berbulan-bulan, menyebabkan harga minyak melonjak pada Rabu ke paras tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun.
Dalam pertemuan dengan eksekutif-eksekutif minyak, Trump berhujah bahawa sekatan ke atas pelabuhan Iran yang menurut Teheran mesti ditamatkan sebelum sebarang perjanjian adalah lebih berkesan daripada pengeboman.
Seorang pegawai Rumah Putih yang enggan dikenali berkata, Trump, dalam mesyuarat yang berlangsung pada Selasa itu, membincangkan usahanya untuk meredakan pasaran minyak global dan langkah yang boleh diambil untuk meneruskan sekatan semasa selama berbulan-bulan jika perlu serta meminimumkan kesan terhadap pengguna Amerika..
Trump ketika bercakap kepada Axios mengenai tindakan terhadap Iran berkata: “Mereka tercekik dan keadaan akan menjadi lebih buruk bagi mereka.”
Niaga hadapan minyak Brent melonjak lagi 7.6 peratus kepada AS$119.69 (RM475), harga tertinggi sejak hari-hari awal perang Ukraine pada tahun 2022.
Iran cuba mendapatkan harga balasan selepas diserang dengan mengawal Selat Hormuz, laluan sempit yang biasanya dilalui oleh satu perlima daripada minyak global.
Trump berdepan tekanan politik yang kuat untuk menamatkan perang itu, yang tidak popular walaupun dalam kalangan penyokongnya sendiri.
Ia telah meningkatkan kos bagi pengguna Amerika yang membayar minyak dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu AS.
Pemimpin AS itu pada Rabu mengecam Canselor Jerman, Friedrich Merz. Trump turut mengancam untuk mengurangkan bilangan anggota tenteranya di Jerman berikutan keengganan Berlin menyokong perang di Iran atau menyumbang kepada pasukan pengaman di Selat Hormuz.
Merz menjadi sasaran kemarahan Trump selepas beliau berkata pada awal minggu ini bahawa Iran memalukan Washington di meja rundingan.
Pegawai tertinggi AS termasuk Naib Presiden AS, JD Vance dua kali membatalkan perjalanan minggu lalu ke Pakistan untuk berunding dengan Iran yang menyuarakan keraguan terhadap keikhlasan Trump dalam diplomasi. – AFP











