ARAU: Kebebasan bersuara mahasiswa yang dijamin oleh kerajaan, perlu diseimbangkan dengan penggunaan saluran rasmi lebih tersusun dan berimpak.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Iman Hosseini Shariati Abdul Halim berkata, mahasiswa bukan sahaja perlu lantang bersuara, tetapi bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan setiap pandangan dan cadangan yang dikemukakan adalah secara berfakta, berstruktur dan berorientasikan penyelesaian.
Menurut beliau, bagi isu-isu melibatkan kepentingan besar mahasiswa atau dasar pendidikan tinggi, ia wajar dibawa ke peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi melalui sesi libat urus rasmi.
Katanya, MPP sebagai suara rasmi mahasiswa sentiasa bersedia untuk mengatur pertemuan bersama pihak kementerian bagi memastikan setiap isu dibincangkan secara profesional, matang dan konstruktif.
“Akan tetapi, sekiranya pihak kementerian telah menyediakan ruang dan peluang kepada pemimpin pelajar serta aktivis mahasiswa untuk berunding dan membawa aspirasi ke peringkat kementerian, maka mahasiswa perlu menggunakan pendekatan tepat, selaras dengan saluran rasmi diberikan.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap perbincangan berlangsung secara konstruktif, telus dan berlandaskan komunikasi dua hala yang matang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, mahasiswa bebas mengkritik kerajaan termasuk menerusi platform digital dengan jaminan bahawa saluran rasmi disediakan bagi membawa terus isu dan suara mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan landskap aktivisme daripada bentuk tradisional kepada ruang maya seperti media sosial, forum dan TikTok adalah selari dengan perkembangan semasa tanpa menjejaskan hak pelajar untuk bersuara.
Sementara itu, MPP Unimap menyambut baik jaminan Perdana Menteri itu dan menyifatkan ia sebagai langkah positif dalam memperkukuh amalan demokrasi dan keterbukaan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Pada masa sama kementerian perlu terus memperkukuh pendekatan komunikasi dengan generasi mahasiswa masa kini.
“Adaptasi terhadap platform digital seperti media sosial perlu diperkasakan agar respons terhadap isu mahasiswa dapat disampaikan dengan lebih pantas, telus dan efektif. MPP Unimap juga percaya bahawa hubungan dua hala yang kukuh antara pihak kementerian dan kepimpinan mahasiswa adalah kunci kepada penyelesaian lebih adil dan seimbang.
“Melalui dialog berterusan, pertukaran pandangan terbuka serta semangat kerjasama, kami yakin segala isu dapat ditangani dengan lebih konstruktif demi kesejahteraan mahasiswa dan kemajuan sistem pendidikan tinggi negara,” kata Iman Hosseini.
Sementar itu, Presiden Liga Mahasiswa Universiti Malaya, Ammar Daniel Noor Irwan berkata, ruang untuk bersuara tidak seharusnya dilihat sebagai satu keistimewaan yang boleh diberikan atau ditarik balik oleh mana-mana pihak berkepentingan sama ada kerajaan mahupun pentadbiran universiti.
“Tidak sewajarnya mengawal ruang kebebasan mahasiswa secara ketat berikutan kerajaan memandang serius terhadap mahasiswa yang menyuarakan pendapat mereka di mana-mana platform.
“Pihak universiti perlu menerima setiap cadangan dengan terbuka agar memberi keutamaan dalam mencari ruang penyelesaian antara dua pihak selain meneliti setiap keperluan yang boleh ditambah baik menerusi cadangan yang dibawa oleh mahasiswa.
“Tidak seharusnya juga suara yang dilontarkan diambil tindakan berikutan setiap isu yang dibangkitkan berpotensi menjejaskan sesebuah institusi dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seperti tuntutan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku),” katanya.
Bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), Muhammad Luqman Nurhakim Zulikhsyam berkata, kenyataan Perdana Menteri itu adalah perkembangan yang positif dalam memperkukuh amalan demokrasi negara. – UTUSAN










