KUALA TERENGGANU: Baki 1.3 hektar hutan di Kampung Kuala Abang, Dungun, dekat sini yang terbakar masih dalam proses pemadaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pengarahnya, Nor Mahathir Muhamad berkata, operasi pemadaman masih giat dijalankan bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Katanya, kebakaran hutan paya gambut di Kampung Baru Kuala Abang yang bermula sejak 23 April lalu kini hampir terkawal.
“Kira-kira 96 peratus kebakaran daripada keseluruhan 34 hektar kawasan terjejas telah berjaya dipadamkan setakat ini.
“Usaha pemadaman masih diteruskan bagi memastikan baki kawasan yang terjejas dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, berdasarkan ramalan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia, Kuala Terengganu dijangka mengalami suhu minimum sekitar 23 darjah Celsius manakala suhu maksimum boleh mencecah sehingga 34 darjah Celsius.
Keadaan cuaca panas dan kering ini dijangka memberi cabaran kepada operasi pemadaman serta meningkatkan risiko kebakaran terbuka di kawasan terlibat. – UTUSAN











