Trend kejatuhan FDI ke Malaysia tidak berterusan - Utusan Malaysia

Trend kejatuhan FDI ke Malaysia tidak berterusan

BELANJAWAN 2022 adalah memulih dan membina semula daya ketahanan negara bagi menangani krisis pada masa depan.- UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan asing ke Malaysia tahun lalu turun sebanyak 54.8 peratus kepada RM14.6 bilion, daripada RM32.4 bilion tahun sebelumnya, terendah sejak 2009 sebanyak RM5.1 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, walupun Malaysia mencatatkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) lebih rendah pada 2020, namun FDI terkumpul telah meningkat sebanyak RM11 bilion kepada RM698.8 bilion.

Tambah beliau, trend kejatuhan aliran FDI 2020 juga tidak berterusan pada permulaan tahun ini.

Sebaliknya kata beliau, aliran FDI di Malaysia menunjukkan pemulihan dengan mencatatkan RM9.1 bilion, pelaburan tertinggi sejak negara dilanda penularan pandemik Covid-19.

“Peningkatan dalam pelaburan ini disumbangkan oleh aliran masuk ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd. Uzir, sektor perkhidmatan yang menguncup 60.5 peratus tahun ke tahun kepada RM6.9 bilion telah menyebabkan penurunan terbesar dalam FDI bagi tempoh dilaporkan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa, kemerosotan itu bukanlah tanda yang tidak menguntungkan.

“Sebaliknya, sektor ini kekal sebagai penyumbang utama kepada aliran FDI dengan sumbangan 47 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan terutamanya dalam aktiviti kewangan. Manakala, sektor pembuatan merupakan penyumbang kedua terbesar hasil daripada penerimaan ekuiti yang lebih tinggi terutamanya dalam produk elektrik & elektronik, diikuti sektor perlombongan dalam instrumen hutang,” katanya.

MOHD. UZIR MAHIDIN

Ketua Perangkawan itu memberitahu, rantau Asia kekal menjadi sumber utama FDI tahun lalu dengan aliran masuk bersih sebanyak RM18.3 bilion, kebanyakannya dari Singapura, Thailand dan China berjumlah RM11.5 bilion.

Mengenai prestasi pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA), beliau berkata, ia menunjukkan trend peningkatan dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM7.8 bilion pada suku pertama (S1) 2021, terutama disumbangkan oleh aliran keluar ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi.

“Pelaburan terkumpul di luar negara juga meningkat kepada RM518.8 bilion, sebahagian besar ke Singapura dan Indonesia, manakala United Kingdom (UK) telah mengatasi Cayman Islands sebagai destinasi utama yang ketiga,” katanya.

Mohd. Uzir berkata, walaupun terdapat peningkatan evolusi pandemik yang dinamik, risiko penularan dan tindakan pembendungan diperbaharui akan terus mempengaruhi aktiviti pelaburan dengan ekonomi Malaysia dijangka terus meningkat tahun ini berdasarkan prestasi petunjuk ekonomi utama yang lebih baik pada suku pertama 2021.

“Meskipun penurunan pelaburan asing mungkin kelihatan membimbangkan, FDI di Malaysia mencatatkan aliran masuk lebih tinggi pada S1 2021 dan FDI terkumpul juga kekal tinggi, menandakan peningkatan prestasi pelaburan pada tahun ini,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pemulihan pelaburan ekonomi pada 2021 dapat disokong dengan usaha menarik pelaburan berkualiti dalam merancakkan aliran masuk pelaburan di sektor bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan berimpak tinggi serta projek yang berinsentifkan modal bagi kemajuan ekonomi yang lebih mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×