BACHOK: Kertas siasatan melibatkan seorang wanita yang ditahan bagi membantu kes kebakaran semak di sini, Jumaat lalu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, wanita berusia 52 tahun itu sudah memberi keterangan selepas ditahan pada Jumaat lalu.
“Wanita itu sudah dibebaskan kelmarin setelah memberi keterangan kepada polis. Jadi nasihat saya kepada orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka lebih-lebih lagi ketika cuaca panas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kebakaran semak dan rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai di Jalan Pantai Perkasa, Bachok.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, kebakaran bermula di kawasan semak berhampiran sebuah rumah terbengkalai telah merebak seingga ke kawasan penempatan penduduk lain. – UTUSAN











